Sunday, February 19, 2012

Saya Masih Merindui Tempat Itu

Sudah 2 tahun saya meninggalkan tempat itu... tetapi segala peristiwa pahit dan manis di tempat itu masih segar diingatan. Seolah baru semalam saya melangkah keluar dari situ. Pertama kali saya menjejakkan kaki di situ, saya merasakan tempat itu sangat asing bagi saya.

Kita dituntut supaya menuntut ilmu walau ke negara China sekalipun, kerana menuntut ilmu adalah kewajipan yang difardhukan. Setelah saya mendapat tawaran daripada UIAM, saya nekad untuk meneruskan perjalanan sebagai seorang pelajar di sana, Taman Ilmu dan Budi. Walaupun daerah Gombak tidaklah sejauh negara China, namun bagi saya yang tidak pernah berjauhan daripada keluarga tempat itu sudah cukup jauh. Di sana saya mula belajar. Bukan bermakna sebelum ini saya tidak belajar tetapi di sinilah saya mula belajar dalam erti kata yang sebenar.

Saya bukan sahaja belajar tentang ilmu undang-undang bahkan saya diajar tentang kehidupan... kehidupan dunia dan akhirat. Di sana saya dapat berkongsi kehidupan dengan ramai orang. Sebelum ini saya merasakan hidup saya berbeza dengan orang lain, tetapi hakikatnya kita semua sama, yang berbeza adalah cara kita menguruskan kehidupan kita. Jika kita pandai menguruskannya, sudah pasti hidup kita akan terurus dan berada di landasan yang betul. Sebelum ini cabaran dan rintangan yang saya hadapi juga berbeza, tidaklah sehebat ketika saya berada di tempat itu. Cabaran dan rintangan itu adalah ujian yang datang untuk menguji sejauh mana kemampuan saya untuk menghadapinya. Alhamdullilah... usaha, doa, tawakal dan redha di atas segalanya menjadikan saya masih kuat dan tempat itulah yang mengajar saya tentang semuanya ini.

Sebelum ini, saya hanya mengenali segelintir orang... Di sana, saya mengenali ramai orang dan memiliki ramai kawan. Saya belajar tentang erti persahabatan. Dalam bersahabat, adakalanya kita diuji untuk menilai sejauh mana keikhlasan kita dalam bersahabat. Kata orang, kawan ketika gembira senang dicari tetapi, kawan ketika berduka sukar dicari. Betul atau tidak? Jawapannya ada pada kita. Sebelum kita menilai sahabat-sahabat di sekeliling kita, nilailah diri kita terlebih dahulu, bagaimana diri kita dalam bersahabat... kerana kita tidak boleh menilai seseorang dari luaran sahaja dan kita tidak layak pun untuk menghakimi orang lain. Tak kenal maka tak cinta. Alhamdullilah... sehingga ke hari ini kawan-kawan yang saya kenali di sana masih di sisi walaupun jauh di mata, mereka hadir untuk dirindui dan kekal didasar hati.

Perkara yang betul-betul mengajar saya ialah bagaimana untuk berdikari. Sebelum ini saya bersama keluarga dan tidak pernah bersendirian. Di sana saya perlu berdikari dan tidak boleh terlalu bergantung dengan pertolongan orang lain. Namun, saya bernasib baik kerana ramai kawan-kawan dan warga Taman Ilmu dan Budi yang prihatin dan selalu memberi pertolongan. Thanks to all...:)

Taman Ilmu dan Budi betul-betul mentarbiah diri saya ke arah yang lebih baik. Di situ juga saya diperlihatkan dengan berbagai rona kehidupan yang tidak semuanya indah. Itu memberi pengajaran kepada saya untuk tidak mengulangi kesilapan-kesilapan seperti mereka lakukan.

Inilah Taman Ilmu dan Budi...



Tempat untuk minda, hati dan jiwa...
yang kosong akan terisi,
yang hambar akan berseri,
yang kusut akan terlerai,
dan
yang rosak akan diperbaiki...

I LOVE UIAM....

**** Perkara yang paling saya rindui ialah suasana final exam dekat Main Hall, CAC dan menikmati aiskrim di tepi padang Mahallah Saffiyah ****


No comments: