Begitulah tajuk novel sejarah tulisan
Web Sutera atau nama sebenar beliau ialah Hizamnuddin Awang. Melihat tajuknya
sahaja sudah cukup untuk menarik saya membacanya bagi mengetahui apa pengisian
yang terkandung dalam novel ini. Pada asalnya saya sendiri tidak pernah
terfikir bahawa Alexander itu adalah Raja Zulqarnain yang digambarkan kisahnya
di dalam Al-Quran. Penulis-penulis barat banyak menulis tentang Alexander dan
mereka menyembunyikan kesahihan cerita yang sebenar tentang Alexander.
Sebagaimana yang diceritakan dalam
Al-Quran, surah Al-Kahfi ayat 83-98, Zulqarnain atau Raja Zulqarnain merupakan
pemerintah yang adil sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Beliau adalah
perintis yang membebaskan dua dunia, Timur dan Barat. Novel sejarah ini adalah
pencerahan kepada kebenaran yang disembunyikan oleh penulis-penulis barat
mengenai Raja Zulqarnain dan mengaitkan beliau dengan Alexander.
Semasa membaca novel sejarah ini terasa
diri mengembara dan berjalan bersama dengan watak-watak yang digambarkan oleh
penulis. Jelas konsep penceritaan sejarah melalui cerita diolah oleh penulis
dengan baik sehingga menjadikan ia seronok dan menghiburkan. Bukan bersifat
fakta semata-mata. Pada setiap permulaan bab pula penulis memetik kata-kata
hikmah dan terjemahan ayat-ayat Al-Quran sebagai panduan. Sebelum menghabiskan
bacaan saya tertanya-tanya, wujudkah Kitab Cahaya Bersinar? Rupa-rupanya kitab
ini merupakan catatan perjalanan Alexander yang ditulis oleh Sangarius, iaitu watak
dalam novel ini. Tersenyum seketika. Setelah menamatkan bacaan, ternyata hijab
di sebalik kepalsuan yang disembunyikan berjaya dibongkar.
Ketahuilah, Raja Zulqarnain seorang
pemerintah unggul, kasih sayangnya ditunjukkan melalui keakraban pergaulannya
dengan rakyat, keikhlasan dalam memberi khidmat dan simpati kepada rakyat
sebelum rakyat memberi khidmat kepadanya. Perwatakkannya berjaya menyentuh
hujung hati saya. Pada saya novel ini bukan sekadar novel, tetapi ada pengisian
penting yang perlu kita tahu. Semoga kita tidak lagi dikaburi dengan pendustaan
oleh penulis-penulis barat.
Antara yang menarik di dalamnya, catatan
sejarah merekodkan Nabi Muhammad S.A.W memiliki sahabat, Sultan Muhammad
al-Fateh juga ada sahabat. King Arthur ada sahabat pahlawan meja bulatnya, Hang
Tuah dengan saudara berempat. Laksamana Sunan pun ada sahabatnya, begitu juga
dengan Alexander.
Memetik kata-kata novelis thriller no 1
Malaysia, Ramlee Awang Murshid, “Karya ini seperti filem yang kaya dengan
seni.”
Selamat Membaca!
Tidak sabar menunggu novel beliau
seterusnya, ‘Konstantinopel Menjulang Panji al-Fateh’