Entri saya untuk kali ini saya ingin
mencoretkan sesuatu tentang ilmu. Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam
pembangunan. Sejarah keagungan Islam juga terletak pada tamadun yang berilmu.
Buktinya lahir tokoh-tokoh cendekiawan seperti Iman Syafie, Ibn Sina, Iman Abu
Hanifah dan ramai lagi. Kita sering kali mendengar ungkapan ‘membaca jambatan
ilmu’. Ini menunjukkan membaca amat sinonim dengan ilmu. Hal ini demikian
kerana ilmu hanya akan diperolehi melalui budaya membaca.
Menurut kamus dewan edisi keempat
(2005), membaca ialah memerhatikan isi sesuatu yang bertulis atau bercetak
dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Berdasarkan kajian Dewan
Industri Buku Melayu Malaysia, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM 1
bilion setahun untuk membeli buku. Pada hemat kita angka itu sangat besar,
namun jika diambil kira jumlah keluarga di Malaysia secara purata setiap
keluarga di negara ini hanya membelanjakan sebanyak RM 50.00 setahun untuk
membeli buku. Ini jelas menunjukkan bahawa budaya membaca masih rendah
terutamanya di kawasan luar bandar. Ini terbukti apabila cuti sekolah yang lalu
saya berkunjung ke pesta buku yang diadakan di sekitar tempat tinggal saya.
Keadaan amat menyedihkan kerana suasananya agak lengang jika dibandingkan
dengan suasana yang penuh sesak di gerai-gerai lain yang menjual baju dan
tudung.
Hakikatnya budaya membaca sudah lama
dipupuk sejak zaman persekolahan lagi, namun budaya ini masih berada di tahap
yang rendah jika ingin dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun. Alasan
yang sering kedengaran tiada masa, malas membebankan otak untuk berfikir bagi
karya-karya yang berat dan ada juga yang memberi alasan buku kini mahal. Malah
ada juga alasan bahawa internet menjadi punca hilangnya minat membaca. Dengan
hanya mengakses internet iaitu menekan kata kunci carian di google kita boleh
mendapat pelbagai maklumat dengan cepat, tepat dan terkini. Tidak hairanlah
penulisan sebegitu ilmiah dan panjang akan mengundang rasa malas untuk membaca.
Apa jua alasan yang diberikan perlu
diingat dalam Islam, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W
adalah tentang kewajipan mencari ilmu. Ayat pertama yang diturunkan ialah
‘iqra’’ atau ‘bacalah’. Memetik kata-kata Napoleon Bonarparte, raja Perancis
yang menaiki takhta pada tahun 1799 mengatakan sesiapa yang membaca dan
mengamalkan apa-apa yang dibaca akan dapat memerintah dunia. Saya melihat
kata-kata ini ada benarnya apabila melihat kepada ikon membaca kebangsaan yang
juga merupakan bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir. Malaysia berada di
bawah pemerintahan beliau selama 22 tahun dan banyak kemajuan serta pembangunan
yang direalisasikan oleh Tun sepanjang pemerintahannya. Beliau suka membaca
sejak dari kecil lagi. Bahkan juga, deria dan minda yang dicerna dengan ilmu
hasil pembacaan akan menjana kehidupan yang sentiasa inginkan perubahan.
Jesteru itu, bulan Julai setiap tahun telah
diiktiraf sebagai bulan membaca kebangsaan. Bukan itu sahaja, pelbagai kempen
kesedaran juga telah dilaksanakan. Persoalannya, sejauh manakah
keberkesanannya? Solusinya harus bermula
dengan diri sendiri, ubah sikap malas membaca dengan memupuk sikap cintakan
ilmu dan membudayakan tabiat membaca. Bacalah apa sahaja yang boleh memberi
manfaat, mulakan dengan bacaan ringan seperti akhbar, majalah dan buku-buku
ringan. Minat kepada buku harus dipupuk sejak kecil dan inilah peranan yang
harus dimainkan oleh ibu bapa.
Hilang minat membaca generasi pada hari
ini pasti akan mengundang risiko memiliki masyarakat yang kurang analitikal.
Teringat kata-kata seorang kawan, negara mungkin pesat membangun dan mencapai
gagasan wawasan 2020 tetapi mentaliti rakyat Malaysia masih berada di tahap
yang rendah. Konklusinya, tanamkan tabiat membaca dan sukakan buku dalam diri,
apabila ia sudah sebati dalam diri, kita akan rasa sesuatu yang kurang
sekiranya tidak membaca dan akan selalu ingin mencari sesuatu untuk dibaca.
Bacalah!!! Membaca seolah-olah kita
mengembara menerusi buku-buku yang dibaca. Ia satu perjalanan yang
mengasyikkan… Berjalan bersama kisah-kisah manusia yang berada dalam dunia buku
yang sangat memeranjatkan kerana di situ kita akan menemui pelbagai rasa dan
perasaan…