Aiskrim, yumyum... kelazatannya bagi saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi menikmati kelazatannya ketika cuaca panas. Sungguh menyamankan tekak yang kering. Di pagi jumaat penghulu segala hari ini, saya ingin mencoretkan sesuatu tentang aiskrim.
Saya masih ingat, dahulu sewaktu zaman persekolahan ayah selalu belikan saya aiskrim kon yang dijual oleh pak cik motor di tepi pagar sekolah. Waktu itu harganya hanya 20sen. Walaupun murah dan tidak mengujakan seperti aiskrim yang berada di pasaran hari ini, tetapi ia memberi kepuasan tersendiri. Kini terdapat pelbagai jenis aiskrim yang telah diubah suai daripada konsep asalnya dan dilengkapi dengan hiasan yang mengujakan seperti salutan coklat dan cip coklat.
Di sebalik kelazatan aiskrim, ada sesuatu yang tersembunyi... Aiskrim boleh mendatangkan mood ceria dan gembira di saat kita bersedih. Kenapa? Mungkin kerana sifatnya yang manis, dingin dan menyenangkan apabila ditelan. Aiskrim bukan sahaja dapat dirasa oleh lidah, bahkan juga dirasai oleh mata dengan pelbagai warna yang menarik di atasnya. Jika kita perhatikan kebanyakkan drama korea seperti 'Fullhouse' dan 'Boys Over Flower' menggunakan aiskrim sebagai pemujuk.
Apabila dihulurkan sahaja aiskrim walaupun tanpa hiasan yang mengujakan, pasti hati menjadi cair dan kembali ceria. Begitulah kuasa aiskrim boleh mengubah suasana. Bukan itu sahaja, bagi saya aiskrim juga boleh dijadikan sebagai alat untuk meraikan sesuatu yang begitu peribadi... mungkin di saat kita gembira... Saya pernah meraikan tamatnya peperiksaan akhir (final exam) dengan menikmati kelazatan aiskrim.
Ini aiskrim kegemaran saya dan adik...yummy |
Ayuh, kembalikan mood ceria dengan aiskrim...:)
### Menikmati kelazatan aiskrim di tepi padang Mahallah Saffiyyah, UIAM masih terpahat di hati... Sweet Memory ###