Monday, September 12, 2011

Tiada lagi cinta


'200 000 daftar cerai, pasangan kurang 6 tahun nikah paling ramai berpisah.'

'Mohon cerai kerana tiada persefahaman, 69.44 peratus wanita dan 43.33 peratus lelaki.'

'Bilangan umat Islam yang berkahwin sepanjang tahun lalu adalah 135 136 orang dan bilangan yang bercerai seramai 27 116 orang.'
(Sumber : Berita Harian 6 Sept 2011)

Angka yang cukup membimbangkan, sedangkan perkahwinan itu untuk mencipta mawaddah, rahmah dan sakinah. Sunnatullah dalam perkahwinan itu sendiri meletakkan 2 orang yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keadaan syurga dalam bahtera yang dibina.

Jodoh yang menemukan 2 pasangan yang berkahwin adalah apabila ada persamaan dan keserasian yang akhirnya dapat menyatukan 2 hati. Di sinilah terbitnya cinta... aku cinta padamu... Hakikatnya walaupun masih banyak perbezaan antara mereka, namun mereka masih boleh menjadi pasangan yang ideal jika mempunyai persamaan walaupun hanya pada satu perkara. Inilah yang dikatakan wujudnya persefahaman antara mereka. Tapi, entah kenapa lama kelamaan persefahaman dan persamaan yang wujud ini semakin pudar dan akhirnya hilang... Jalan terakhir yang dipilih adalah berpisah.

Tanpa sedar, mereka sebenarnya adalah 2 insan yang berbeza sebelum berkahwin. Kenapa persamaan yang diagung-agungkan dan dijunjung selama ini demi mewujudkan persefahaman tidak dapat lagi diuruskan supaya ianya berkekalan, malah terus dihapuskan dan memilih jalan untuk berpisah? Sudah tiada lagikah perasaan cinta yang pernah dizahirkan suatu ketika dahulu?

Seorang kawan pernah memberitahu saya, berpisah adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Sudah tiada persefahaman dan cinta lagi antara dia dan suami. Mungkin saya tidak dapat memahami perasaannya ketika itu, kerana saya tidak berada di tempatnya. Mereka berkahwin atas dasar cinta, bertahun-tahun mereka menyulam cinta. Akhirnya, bahtera yang dibina hanya bertahan selama 2 tahun. Kesannya, adalah kepada anak yang masih kecil. Begitulah... marriage is not only about love... Seorang kakak pernah memberitahu bahawa alam perkahwinan zaman sekarang cabarannya lebih hebat daripada zaman datuk nenek kita...

Memetik kata-kata Pahrol Mohd Juoi, "untuk sama-sama mencintai, tidak cukup dengan hidup bersama kerana 'marriage is loving together, not just living together' untuk mencintai terimalah dan raikanlah perbezaan. Itulah hakikat cinta - berbeza demi cinta.

Sabda Rasullulah S.A.W yang bermaksud :
"Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah Talaq (perceraian)"


No comments: