Kisah 1
Pada suatu hari sepasang suami isteri sedang makan bersama di rumah mereka. Sedang mereka makan, kedengaran pintu rumah mereka diketuk oleh seseorang. Si isteri telah membuka pintu dan dilihatnya seorang lelaki meminta sedekah. Si isteri merasa terharu dan hendak memberikan sesuatu. Tetapi sebelumnya dia bertanya dahulu kepada suaminya,"Wahai suamiku, bolehkah aku memberikan makanan kepada pengemis ini?" Alangkah sedihnya hati si isteri apabila mendengar jawapan daripada suami yang dicintainya. "Tidak usah! Usir saja dia. Si suami yang menjalankan perniagaan telah mengalami kerugian yang teruk dan menderita kerana banyak hutang sehingga rumahtangga mereka porak peranda. Akhirnya rumahtangga mereka musnah akibat berlaku perceraian. Tidak lama setelah itu bekas isterinya berkahwin lagi dengan seorang pedagang di kota.
Dikisahkan, pada suatu hari ketika ia sedang makan bersama suaminya yang baru, tiba-tiba ia mendengar pintu rumahnya diketuk orang. Setelah dibuka pintu ternyata tamu tak diundang itu adalah seorang pengemis yang sangat mengharukan hati wanita itu. Maka wanita itu berkata kepada suaminya. "Wahai suamiku bolehkah aku memberikan sesuatu kepada pengemis ini?"Suaminya menjawab, "Berilah makan kepada pengemis itu." Setelah memberi makanan kepada pengemis itu isterinya masuk ke dalam rumah sambil menangis. Suaminya dengan perasaan hairan bertanya kepadanya, "Mengapa engkau menangis? Apakah engkau menangis kerana aku menyuruhmu memberikan daging ayam kepada pengemis itu?" Wanita itu menggelengkan kepalanya, lalu berkata dengan nada yang sedih dan sambil terisak-isak menahan tangis, "Wahai suamiku, aku sedih dengan perjalanan takdir yang sungguh menakjubkan hatiku.Tahukah engkau siapa pengemis yang ada di luar itu? Dia adalah suamiku yang pertama dahulu."Mendengar keterangan isterinya sedemikian, sang suami sedikit terkejut, tetapi segera ia pula bertanya "Dan tahukah engkau siapa aku yang kini menjadi suamimu ini?Aku adalah pengemis yang dulu diusirnya.”
Kisah 2
Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan.
“Abg nak beli kuih?” Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.
"Tak apalah dik...abg dah pesan makanan," jawap saya ringkas. Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba saya terus menikmatinya.
Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak dan dia berlalu begitu saja.
"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.
"Abang baru lepas makan dik masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.
Dia beredar tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya." Tak nak beli kuih saya bang..pak cik...kakak… makcik."
Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihat betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya. Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumanya. Saya agak umurnya lebih kurang 12 tahun.
"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang,” katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya. Saya tenung wajahnya bersih dan bersahaja. Terpantul kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.
" Ambil ni dik! Abang sedekah..! Tak payah abang beli kuih tu" saya berkata ikhlas kerana perasaan kesian meningkat mendadak.
Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih dan terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.
Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta dan memanggil kanak-kanak itu. "Kenapa, abang nak beli kuih ke?" tanyanya.
"Kenapa adik berikan duit abang tadi kepada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.
"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat kepada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar. Saya sebak, sekali gus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.
"Abg nak beli semua ke?" dia bertanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.
"RM25 saja bang.....!” Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatim kah?? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya?? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kesian, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan. Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!!! Selagi termampu kita harus berusaha untuk meneruskan kehidupan bukan hidup dengan meminta-minta.
Kedua-dua cerita di atas mengingatkan saya kepada dua orang pengemis di salah sebuah pasar malam yang pernah saya kunjungi. Seorang berkerusi roda dan seorang lagi duduk bersipuh di tepi jalan raya. Keadaanya agak menyedihkan…perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah apakah mereka tidak mempunyai ahli keluarga? Sanggupnya anak-anak mereka melihat ibunya dalam keadaan seperti itu…hidup dengan meminta-minta. Kita harus hidup pada memberi BUKAN hidup pada meminta....Kita sememangnya digalakkan untuk bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan tapi persoalannya apakah mereka betul-betul memerlukan? Banyak persoalan di sebalik kehidupan mereka yang kita tersedia maklum.
Isu pengemis bukan lagi isu baru, namun sehingga kini tiada penyelesaiannya. Persoalan yang paling utama yang harus dipersoalkan, apa peranan pihak berkuasa yang terlibat??? “Jangan hari ini buat operasi dan kemudian senyap…”
2 comments:
salam k miza...
kalau kita sendiri tak cuba merubah takdir, sampai bila2 kita takkan berubah
semua brgntung pd usaha kita;)
W'salam...
Akak setuju hanya kt yg boleh mengubah hidup kita...tidak boleh berserah bulat-bulat tanpa usaha.seseorg itu tidak akan berubah melainkan kehendak dirinya sendiri.
Post a Comment