Monday, May 20, 2013

Talak Bukan Pilihan




‘Talak Bukan Pilihan’ ini adalah tajuk sebuah drama bersiri yang disiarkan di RTM. Saya sempat mengikuti beberapa episod terakhir drama ini. Menarik untuk tontonan golongan hawa khususnya, namun waktu siaranya tidak sesuai. Pada saya cerita ini sangat jelas apa yang ingin disampaikan kepada penonton, talak bukanlah pilihan dan solusi dalam menyelesaikan kemelut yang melanda sesebuah perkahwinan. Masih ada pilihan lain, iaitu mempertahankan perkahwinan yang sudah dibina.  

Kemelut perkahwinan antara Idayu dan Helmi bermula apabila Helmi memberitahu Idayu bahawa dia jatuh cinta untuk kali kedua dan ingin berkahwin lagi. Berita itu seperti bom, satu kejutan buat Idayu bahawa suaminya akan berkahwin lain dan dia bakal dimadukan. Terlalu sukar untuk dia menerimanya. Kata-kata setia dan janji-janji manis daripada seorang suami hanya tinggal janji dan manis di mulut sahaja. Pada mulanya dia keras membantah keinginan suaminya.

Kata-kata si ibu tergiang-ngiang, “Jika kamu tidak mahu dimadukan dan Helmi berkeras ingin berpoligami, penyelesaiannya kamu mintalah cerai.” Belum sempat dia membuat keputusan, si kakak datang memberi semangat supaya mempertahankan mahligai yang sudah dibina. Melihat anaknya yang masih kecil dan perlukan kasih sayang ibu dan ayah, dia mengambil keputusan talak bukan pilihan. Dia meminta tempoh tiga bulan daripada suaminya untuk dia mempersiapkan diri sebelum hidup bermadu. Bukan suatu yang mudah untuk dilakukan, menjadikan poligami semanis madu. Dalam tempoh itu juga dia mencari kelemahan dirinya dan memperbaiki kelemahan tersebut. Dalam tempoh tiga bulan juga dia meminta supaya suaminya menimbangkan semula untuk berkahwin lain, mampukah dia menjadi ketua untuk dua buah keluarga? 

Setelah tiga bulan berakhir, Idayu pasrah dan redha sekiranya dia ditakdirkan untuk hidup bermadu. Berkat kesabaran dan keikhlasannya, Helmi membatalkan keinginannya untuk berkahwin lain. Dia sedar bahawa tiada sebab untuk dia berkahwin lain dan hakikatnya dia tidak mampu untuk melaksanakan prinsip keadilan yang menjadi dasar poligami. Begitulah, talak bukan pilihan dan solusi terbaik dalam menyelesaikan kemelut rumah tangga. Poligami pula tidak semua lelaki layak berpoligami. Kuncinya, jika tidak layak bagaimana keadilan boleh ditegakkan?

Wallahu a'lam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...