Sunday, August 30, 2009

MERDEKA....



“Dulu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan orang hidup susah sehingga terpaksa minum air longkang untuk hidup. Namun keadaan sekarang sangat berbeza dan segalanya telah dipermudahkan. Malah sekarang ini ada golongan bijak pandai Melayu dan bukan Melayu yang tidak nampak kenapa perlu terhutang budi kepada Negara. Mereka cuma berfikir tentang diri mereka”.

Kata-kata ini dipetik daripada wawancara Mingguan Malaysia (16 Ogos 2009) bersama dengan Tun Dr Mahathir yang bertajuk ‘barat masih mahu menjajah’. Esok genaplah 52 tahun kemerdekaan Negara kita. Detik jam 12 tengah malam ini adalah merupakan detik yang paling bersejarah dan dinanti-nanti oleh semua rakyat Malaysia untuk melaungkan ‘Merdeka’. Tetapi persoalannya di sini adalah sejauh manakah perasaan cintakan Negara di kalangan kita pada hari ini, terutamanya di kalangan generasi muda. Apa yang kita nampak pada hari ini sudah ada tanda-tanda dalam masyarakat wujudnya golongan yang mula cuai dan lupa diri sehingga menimbulkan masalah. Masalah yang dimaksudkan di sini ialah gejala sosial seperti lumba haram (remp-it), penyalahgunaan dadah, samseng dan sebagainya. Semua masalah ini membelengu golongan muda, di mana mereka yang akan menjadi pelapis untuk mengambil alih tapuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Gejala ini harus dibanteras dengan segera sekiranya kita tidak mahu dijajah kembali.

Keadaan sebelum merdeka dan sesudah merdeka sangat berbeza. Ramai yang beranggapan bahawa pada zaman ini kita tidak perlu lagi bersusah payah kerana semuanya sudah dipermudahkan dengan segala kemudahan moden. Jadi apa perlu untuk bersusah payah dan apa makna lagi untuk sayang kepada negara??? Kita harus sedar jika tidak kerana hasil cetusan semangat para pejuang terdahulu yang memperjuangkan tanah air ini, sampai ke saat ini kita tidak akan merasai manisnya kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini. Di sinilah peranan kita sebagai generasi sesudah merdeka bertindak sebagai agen yang menggerak dan mengisi erti sebuah kemerdekaan. Kita seharusnya kembali ke zaman lampau untuk memahami sejarah dan perkembangan negara kita. Sekiranya kita tidak memahami akan sejarah dan perkembangan negara serta buta sejarah, maka kita akan hanyut dibawa arus kesenangan hidup yang melalaikan dan melekakan.

Dalam konteks agama, Islam adalah agama yang bersifat merdeka. Dengan kata lain Islam menyeru ummatnya bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Islam telah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada sesama manusia atau perhambaan kepada hawa nafsu. Menurut penyair Arab, Ahmad Syauqi dalam syairnya menyebut bahawa:
“Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak”
Dalam Islam kita diseru untuk berjihad dengan berkorban jiwa dan raga demi memerdekakan negara dari belenggu penjajah. Ini adalah sifat yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara, kita sebagai generasi yang hidup di zaman ini janganlah melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada kita. Dalam suasana aman dan sejahtera hasil kemerdekaan ini, sudah sampai masa dan mustahak bagi semua pihak untuk sentiasa meningkatkan kewaspadaan terhadap apa-apa juga unsur yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan negara. Bersama-samalah kita menjaga dan mengawal bumi Malaysia yang tercinta ini daripada kejadian-kejadian yang tidak diingini agar kesejahteraan dan keamanan yang kita nikmati selama ini terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang.


SELAMAT HARI KEMERDEKAAN YANG KE -52 UNTUK SEMUA RAKYAT MALAYSIA






Saturday, August 29, 2009

DEMOKRASI DAN KEBEBASAN...

Atas nama demokrasi dan kebebasan maka Iraq dibebaskan daripada cengkaman Saddam Hussin dan Parti Baath dan demokrasi jugalah yang menjadi salah satu alasan kenapa Iraq diserang. Kononnya kerajaan pimpinan Saddam Hussin tidak demokratik. Kini rakyatnya bebas diperlakukan dengan ganas dan dibunuh dengan kejam. Ketika pemerintahan Saddam Hussin ada juga orang yang dibunuh namun tidaklah seperti hari ini hampir setiap hari orang Iraq dibunuh. Ini adalah kerana fahaman demokrasi pada hari ini telah dipengaruhi oleh agenda dari barat. Walaupun sesebuah negara itu telah merdeka namun mereka (Amerika Syarikat) masih mahu terus menjajah dan berkuasa secara tidak langsung sama ada melalui ekonomi atau neokolonialisme.

Demokrasi pada hari ini boleh dikatakan sebagai alat neokolonialisme kepada pihak barat untuk menaklukki dunia iaitu dengan menggunakan demokrasi sebagai alasan untuk regime change. Ia bermaksud menukar kerajaan supaya memihak kepada mereka. Sekiranya kerajaan yang dipilih itu tidak sesuai dengan mereka, maka ianya tidak akan diiktiraf. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Iraq malah di Algeria dan Palastin. Apakah demokrasi di negara kita juga akan sama atau sama dengan Iraq, Algeria dan Palastin??? Negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan kita sebagai rakyat berhak untuk memilih pemimpin melalui pilihan raya yang akan diadakan selama 5 tahun sekali.

Saya tertarik dengan takrif demokrasi yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir menerusi wawancara oleh Mingguan Malaysia (16 Ogos 2009) bahawa demokrasi adalah hak untuk memilih pemimpin sahaja dan perkara seperti hak asasi manusia hanyalah tambahan sahaja. Perkara tambahan ini mempunyai had-had tertentu terutamanya dalam bersuara. Sekiranya perkara-perkara tambahan ini tidak dikawal ia akan mendatangkan keburukkan kepada Negara seperti apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini, di mana banyak perhimpunan-perhimpunan haram dianjurkan. Sebagai contoh baru-baru ini satu perhimpunan haram telah dianjurkan di ibu negara untuk membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kesannya bukan sahaja peniaga yang mengalami kerugian malah sekiranya hak bersuara ini tidak dibendung ia boleh membawa kepada rusuhan kaum dan tidak mustahil tragedi 13 Mei akan berulang kembali.

Malaysia adalah demokrasi jadi kita berhak dan bebas untuk bersuara. Itulah kata-kata yang sering kita dengar. Kita tidak boleh mengikut kebebasan yang diamalkan oleh barat sebagaimana yang dinyatakan oleh negarawan Amerika pada abad ke-18 Benjamin Franklin bahawa mereka yang mahu mengetepikan kebebasan demi untuk mendapatkan perlindungan, tidak akan mendapat atau tidak patut mendapat salah satu darinya (those who desire to give up freedom in order to gain security will not have, nor do they deserve, either one). Kita bebas tetapi kebebasan itu ada hadnya. Sekiranya kita terlalu bebas maka akan berlaku huru-hara dalam sesebuah Negara. Oleh itu, kita mengamalkan demokrasi tetapi ada haknya.

Sebagai kesimpulan, provokasi melampau haruslah ditamatkan sebelum ianya mengugat perpaduan kaum dan keselamatan negara. Jadikan pengajaran permusuhan di Bosnia dan juga Kosovo sebagai iktibar kepada negara kita apabila masyarakat pelbagai kaum di sana terjebak dengan krisis kemanusiaan akibat daripada gugatan perpaduan kaum.Malaysia harus mempertahankan status quo sedia ada dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negara terus dinikmati segenap generasi pelbagai kaum di negara ini sepanjang masa.

Friday, August 21, 2009

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN…



Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Itulah bulan yang penuh dengan barakah dan kehadirannya ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam. Ada juga di antara kita yang rindukan sahurnya, buka puasa beramai-ramai, solat tarawih, tadarrus al-Quran dan tak kurang juga yang teringat dengan pelbagai jenis juadah makanan yang hanya terdapat di bulan ramadhan. Semalam 29 Syaaban 1430 Hijrah bersamaan 20 Ogos 2009 pihak berkuasa di kebanyakan negara Islam termasuk negara kita Malaysia telah mengumumkan bahawa tarikh bermulanya puasa adalah esok 22 Ogos 2009 bersamaan 1 Ramadhan 1430 Hijrah. Maka wajiblah kepada kita semua sebagai umat Islam untuk menunaikan rukun Islam yang ke-3 iaitu berpuasa. Sebagaimana firman Allah S.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud:“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa”
Insya Allah dengan berpuasa menjadikan kita semua orang yang bertakwa. Tetapi, bukanlah bermaksud apabila kita berpuasa kita akan tergolong dalam orang-orang yang bertakwa kerana takwa di sini hanya kepada orang-orang yang betul-betul menjaga ibadah puasanya. Puasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi menjaga lidah dari halwa yang membuai rasa dan membicarakan hal-hal yang tidak berfaedah serta menjaga suara yang membawa berita bohong. Rasulullah S.a.w bersabda:
“Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji”
(Hadis menurut Sahih Muslim)
Apabila kita berpuasa terdapat dua kegembiraan yang akan kita perolehi. Pertamanya kita akan menemui kegembiraan sewaktu berbuka dan kegembiraan yang kedua ialah ketika kita bertemu dengan Allah S.w.t di hari akhirat nanti. Semoga kita semua akan mendapat ke dua-dua kegembiraan ini. Insya Allah..

“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraannya, gembira ketika berbuka dan gembira ketika berjumpa dengan tuhannya (di hari kiamat).”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada juga di antara kita yang menanam azam sempurna dengan kedatangan ramadhan al-Mubarak ini. Terdapat berbagai-bagai azam yang saya dengar disuarakan oleh pendengar-pendengar IKIM pagi tadi. Antara yang menarik perhatian saya ialah ada di kalangan pendengar yang tidak mahu membazir. Ini azam yang sangat baik kerana kita selalu dengar apabila bulan Ramadhan perbelanjaan kita meningkat. Kenapa agaknya?? Ini kerana kita terlalu menurut hawa nafsu untuk berbelanja dengan membeli pelbagai juadah makanan sedangkan kita tidak mampu untuk menghabiskannya. Mana taknya pergi sahaja bazar ramadhan kita mula rabun mata semua kita nak dan semuanya nampak sedap. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan kita dapat berjumpa dengan malam yang dinanti-nanti iaitu malam Lailatul Qadar. Firman Allah S.w.t dalam surah Al-Qadr ayat 3 bermaksud:
“Malam Lailatul Qadar (malam penentuan) lebih utama daripada 1000 bulan”Jadikanlah Ramadhan kali ini yang terakhir untuk kita. Apakah kita akan berjumpa lagi dengan Ramadhan yang akan datang???
Indahnya Ramadhan,
Paginya hening untuk yang insaf,
Siangnya pendek untuk yang sabar,
Malamnya panjang untuk yang bertaubat.


RAMADHAN KAREEM...


**RENUNGAN BERSAMA DAN UNTUK DIRI SENDIRI**

Sunday, August 16, 2009

MENCARI DIRI



Di sana sini terbentang luas di ruang mata
Akan keindahan alam semesta
Ciptaan yang Maha Kuasa

Hijaunya tumbuhan ciptaan tuhan
Membuktikan kebenaran akan ayat-ayat al-Quran

Si kerdil ini tunduk sujud kepadaMu
Tanda taqwa kepadaMu

Kelmarin, hari ini dan esok ternyata berbeza
Sekujur tubuh berdiri kaku mencari erti sebenar dirinya

Hari, minggu, bulan dan tahun
Silih berganti meninggalkan seribu satu pengertian
Ya Allah…kepadaMu aku bermohon

Agar aku memahami siapakah diri ini
Di bumiMu nan suci
Sesuci embun pagi

SUAMI ROGOL, LIWAT ISTERI KENA 15 TAHUN

Seorang suami yang merogol dan meliwat isteri sambil mencekik mangsa dihukum penjara berjumlah 15 tahun dan 3 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dilakukan. Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun atas tuduhan merogol dan penjara 10 tahun serta 3 sebatan terhadap tuduh meliwat.

Ini adalah keratan akhbar daripada berita harian yang bertarikh 6 Ogos 2009. Kita mungkin lupa dengan isu ini kerana adanya isu baru. Tidak lain dan tidak bukan isu hangat yang menjadi topik utama di dada-dada akhbar sekarang adalah berkenaan dengan penularan wabak H1N1 dan jumlah kematian yang semakin meningkat setiap hari. Ini membuatkan kita lupa dengan isu di atas. Keganasan terhadap insan yang bernama wanita atau keganasan rumah tangga (domestic violence) bukanlah isu remeh yang boleh dipandang sebelah mata. Ini kerana setiap tahun kes yang dilapor semakin meningkat dan kes-kes ini majoritinya melibatkan kaum melayu yang beragama Islam.

Saya tidak mahu berbicara tentang punca atau sebab kenapa ianya berlaku...kerana itu adalah lumrah, terjadinya sesuatu kerana adanya sebab tertentu. saya juga tidak mahu berbicara tentang hukuman kerana hukuman bukanlah jawapan untuk menyelesaikan semua masalah. Apa yang ingin dipersoalkan di mana rasa perikemanusiaan seorang lelaki terhadap wanita atau dengan kata lain rasa sayang dan cinta seorang suami terhadap isterinya sehingga sanggup bertindak ganas dan kejam tanpa belas kasihan. Sedangkan dalam Islam kita digalakkan supaya berbuat baik dan mengasihi sesama manusia dan tidak menyakiti antara satu sama lain apatah lagi husband and wife. Hadis daripada Jarir bin Abdullah r.a, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, nescaya Allah ‘Azzawajalla tidak mengasihinya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pada pandangan saya sekiranya seorang itu berpegang dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar perkara sedemikian tidak akan berlaku. Seorang suami yang baik seharusnya menunaikan tanggungjawabnya dengan ikhlas terhadap isteri dan anak-anaknya walauapapun keadaan dan bukan mencari alasan untuk lari daripada tanggungjawab. Memetik sebuah kisah seorang suami mendera isterinya kerana masalah kewangan yang dihadapi. Dia diberhentikan kerja kerana kegawatan ekonomi dan memaksa isterinya bekerja. Kemudian timbul rasa tidak puas hati dengan mendakwa isterinya mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan haknya setelah berkerja. Demi rasa tidak puas hati itu dia sanggup memukul dan membelasah isterinya saban hari. Ini menunjukkan dia hanya tahu mempersoalkan hak tapi tidak tahu akan tanggungjawab yang harus ditunaikan...

Saturday, August 8, 2009

MIMPI...

Dapatkan dipasaran 'Tafsir mimpi menurut Islam' daripada AL IMAN IBNU SIRIN



Seorang lelaki tua, berjubah putih, bertongkat dan berjanggut panjang datang menghampiriku lalu berkata, “jangan menangis wahai cucuku, kehidupan yang susah akan menjadi senang. Masanya akan tiba, bersabarlah….” Pandanganku mula kabur. Bayangan lelaki tua itu tadi semakin hilang dan terus hilang dari pandanganku. Bila mata terbuka barulah ku sedar, mimpi rupanya. Mimpi bukanlah perkara luar biasa, setiap orang mengalaminya dan tidak terkecuali diriku ini. Semalam pun aku bermimpi. Mimpi apa ye??? Rahsia...

Mimpi merupakan sesuatu yang terlihat atau dialami dalam tidur. Mungkin juga boleh dikatakan sebagai angan-angan. Dalam bahasa arab disebut sebagai, ‘hulm (حلم)’, dalam bahasa inggeris ‘dream’ dan dalam bahasa jepun pula disebut sebagai ‘yume’. Saya masih ingat satu peribahasa berkaitan dengan mimpi, ‘berkelahi dalam mimpi’ ianya bermaksud sesuatu perbuatan atau perkataan dengan tiada usul periksa tiba-tiba menjadi gaduh. Peribahasa ini tak boleh diamalkan dalam kehidupan kita, mesti dijauhkan.

Saya sering tertanya-tanya kenapa terjadinya mimpi? Menurut sedikit research yang dibuat dan ingin dikongsi bersama. Mimpi terjadi apabila image yang ada dalam angan-angan kita selama ini tercetus keluar dan ia merupakan image yang sangat kita inginkan, risau, takut atau lintasan bayangan pengalaman yang pernah terjadi. Maka terjadilah mimpi. Menurut ahli psikologi, otak kita tak dapat berhenti bekerja walaupun kita tidur. Maka dengan sebab itulah kita masih boleh memperoleh gambaran dari otak kita walaupun saat itu kita tidur. Ianya diibaratkan seperti screensaver yang sering kali muncul di layar komputer. Menurut kajian apabila kita bermimpi ini bermakna otak kita tidak rest 100% semasa tidur. Banyak faktor kenapa kita bermimpi. Antaranya stress, berkhayal sebelum tidur, kepenatan dan terlalu banyak berfikir tentang sesuatu perkara.


Mimpi kadang-kadang susah untuk ditafsirkan. Ada mimpi baik dan ada mimpi buruk. Mimpi yang baik membuatkan kita tidak mahu terjaga dari tidur dan ada ketikanya pula, kita langsung tidak mengingati apa yang kita mimpikan. Bila tiba waktu tidur kita selalu dengar ucapan ‘good night, sweet dreams’. Setiap orang mengharapkan mimpi yang indah. Indahnya mimpi..adakah ianya seindah realiti??? Oh, tidak bila mata terbuka barulah kita sedar realitinya macam mana dan di mana kita. Berpijaklah di bumi yang nyata.Macam-macam perihal mimpi. Imam Ibnu Sirin, dalam bukunya Tafsir Mimpi Menurut Islam, berkata:Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung didalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan. Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah tidak bermimpi melainkan mimpi baginda menjadi kenyataan. Sedangkan mimpi insan yang tidak beriman merupakan berita yang disebarkan oleh syaitan. Dalam sebuah hadis Nabi Saw bersabda:
Maksudnya: Mimpi yang benar dari Allah dan mimpi yang buruk dari syaitan, maka apabila kamu melihat yang buruk maka hendaklah mengucapkan ‘A’uzubillah’ dan berludah secara isyarat ke sebelah kiri kerana ia tidak akan memudharatkan kamu. (HR al-Bukhari dan Muslim)
Dalam suatu riwayat dikisahkan, seorang wanita bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya bermimpi melihat sebahagian tubuh baginda berada di rumahku.” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Fatimah akan melahirkan seorang anak lelaki, kemudian engkau yang akan menyusukannya.” Tidak lama kemudian Fatimah melahirkan Hussein dan disusukan oleh wanita tersebut.


Kita juga kadang-kadang mengalami mimpi ngeri dan menakutkan. Mimpi-mimpi seperti itu biasanya hanya membesar-besarkan situasi yang sedang kita alami atau mencerminkan sesuatu yang ada kena-mengena dengan situasi masa lampau atau sekarang. Kita tidak perlu takut dengan mimpi-mimpi seperti itu, malah hendaklah berdoa kepada Allah supaya dijauhkan daripada mimpi-mimpi tersebut.

BILA MENTARI MELABUHKAN TIRAINYA
GELAP MALAM AKAN MUNCUL DAN
MIMPI PUN DATANG BERTANDANG
BILA MATA TERPEJAM LENA