Friday, August 3, 2012

Meriah Ramadhan


Alhamdullilah hari ini 14 Ramadhan... kita masih bernafas dan diberi kesihatan yang baik untuk terus melaksanakan ibadat puasa. Bulan Ramadhan amat berbeza daripada bulan-bulan yang lain kerana adanya :-

Bubur Lambuk 

Di mana-mana sahaja ada program amal memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang yang memerlukan. Program seperti ini jarang didapati di bulan-bulan lain. Bubur lambuk adalah juadah kegemaran emak saya. Kata emak, bubur lambuk adalah makanan yang menyihatkan dan memudahkan sistem penghadaman. Apa yang menarik tentang juadah ini, setiap tempat cara memasaknya adalah berbeza. Jika di tempat saya, bubur lambuk dimasak tanpa menggunakan santan dan hanya mengandungi sayur-sayur kampung serta lonkang (sejenis makanan laut).

Bazar Ramadhan

Sudah menjadi kemestian setiap kali Ramadhan pasti ada bazar ramadhan. Bulan Ramadhan bulan rezeki untuk peniaga-peniaga. Di sini pelbagai juadah makanan yang kita jumpa. Ada kalanya makanan tersebut tidak pernah kita temui. Bahkan ada juga makanan tersebut hanya kita jumpa di bulan ini sahaja. Dek kerana Ramahan kali ini dalam cuaca yang agak panas, sudah pasti aneka air yang berbagai perisa dan warna menjadi buruan di bazar ramadhan. Apa yang penting jangan mengikut nafsu, berbelanja seadanya.  

Mercun

Jika dahulu akhir Ramadhan baru kita akan kedengaran bunyi mercun, tetapi kini di awal Ramadhan sana sini bising dengan bunyi mercun. Terutamanya ketika orang sedang menunaikan solat terawih. Keadaan ini amat menyedihkan. Ramadhan dan Syawal tetap meriah tanpa mercun. Setiap tahun ada yang menjadi mangsa angkara mercun. Bahkan setiap hari ada rampasan mercun disiarkan, namun ianya seperti 'mencurahkan air ke daun keladi'. Keadaannya tetap sama, masih berleluasa orang yang menjual dan membelinya. Di mana silapnya???

Ayuh, kita jadikan Ramadhan kali ini penuh makna dan menjadikan Al-Quran sebagai surat cinta kita sepanjang Ramadhan ini.

'Ramadhan dirai, Syawal dinanti' 



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...