Wednesday, December 31, 2014

Tinta Di Penghujung 2014

Assalamualaikum...

Coretan saya pada malam ini adalah post terakhir untuk tahun 2014 ini.  Sedar atau tidak hanya beberapa jam sahaja lagi 2014 akan melabuhkan tirainya. Untuk tahun ini blog saya tidak aktif sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, namun saya masih ingin mencoretkan sesuatu di sini... semoga 2015 ia masih bernafas.

Penghujung 2014 negara diuji dengan musibah banjir luar biasa di negeri-negeri pantai timur khususnya Kelantan. Kita juga dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat airasia yang dalam penerbangan dari Indonesia ke Singapura. Begitu besar ujian dariNYA. Begitulah kehidupan ini, silih berganti antara nikmat dan musibah. Sebagai hambaNYA pujuklah hati untuk berbaik sangka. Insya Allah setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Usah kita mempersoalkan apa yang telah tersurat. Sesungguhnya DIA lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNYA.Apa yang berlaku supaya kita lebih bermuhasabah demi mencari yang lebih sempurna.

Petang tadi, dalam perjalanan pulang ke rumah kelihatan beberapa kumpulan sukarelawan yang sedang mengumpul bantuan untuk mangsa-mangsa banjir dan ia berbentuk wang dan barangan. Walaupun kecil bantuan yang dihulurkan... impaknya tidak terjangka oleh imaginasi kita. Sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mereka. Semoga mereka tabah dan sabar dengan ujian. Hakikatnya sabar tidak mudah tapi kerana sabar segalanya akan dipermudahkan.

Setakat ini dahulu coretan saya untuk malam ini. Saya tinggalkan coretan ini dengan bait-bait sebuah lagu nasyid...

"Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan diperjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar
Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya"

Learn from yesterday... Live for today... Hope for tomorrow.
Welcome 2015...
Sekian...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...