Wednesday, November 19, 2014

♥Cinta Yang Tidak Sempurna♥

Assalamualaikum...

Sudah lama cerita ini tersimpan di kotak memori saya... akhirnya dapat juga dicoretkan di sini. Dia pada pandangan saya seorang lelaki biasa, ada kerjaya yang mampu menanggung sebuah keluarga. Dalam mencari cinta, akhirnya dia dipertemukan dengan seorang gadis yang sudi menyambut cintanya. Atas dasar cinta, dua hati bersatu dan ikatan perkahwinan terpatri.

Dalam melayari bahtera yang pada mulanya sangat bahagia, semakin hari semakin hilang sinar kebahagiaannya. Cerah yang diharapkan hingga ke petang, tapi hujan di tengah hari. Semuanya tidak seindah yang dibayangkan. Cinta yang disemai dan dibaja mula layu dan mati. Akhirnya perpisahan menjadi pilihan.

Kedua-dua pihak mengharapkan kesempurnaan. Suami mengharapkan kesempurnaan pada isteri dan begitu juga dengan isteri. Atas ketidaksempurnaan itulah alasan dicari untuk berpisah. Seharusnya kedua-dua pihak berikhtiar untuk memperbetulkan ketidaksempurnaan itu. Bukan mempertikaikan ketidaksempurnaan itu.

Di sinilah peranan agama, menjadi teras dalam keharmonian pembentukkan keluarga. Kedua-dua pihak perlu bersyukur dengan nikmat ikatan perkahwinan yang dibina. Dengan ini dapat menyisihkan dorongan perasaan untuk berpisah. Perpisahan adalah pilihan terakhir. Perceraian membawa kepada berlaku pertikaian yang panjang dalam soal penjagaan anak, nafkah dan harta sepencarian.

Dari kisah ini, saya dapat simpulkan bahawa...
"Mencintai Yang Maha Sempurna untuk menjaga cinta yang tidak sempurna... Dalam cinta manusia ada duka dan luka, pada cinta DIA itulah penawar dan ubatnya."

Selamat Malam...
Sekian....

Friday, November 7, 2014

Ada Apa Dengan RM10.00

Assalamualaikum...

Selamat petang semua. Petang ini ingin saya mengimbau sedikit cerita bersama dengan dua orang kawan yang agak lama tidak 'face to face' . Pertemuan pada petang itu hanya sekejap tetapi cukup bermakna. Tempat pertemuan yang dipilih adalah di tepi pantai yang agak popular di negeri saya dan sememangnya laluan saya untuk pulang ke rumah.

Selain bercerita tentang diri masing-masing, topik ekonomi juga menjadi bualan kami. Ia bermula setelah seorang daripada kawan saya itu melihat makanan yang dibeli oleh seorang lagi kawan untuk dinikmati bersama pada petang itu. "Takkan RM10.00 semua ni?" Kawan saya hanya tersenyum, tanpa kata-kata sambil menunjukkan reaksi yang dapat difahami bahawa, ya begitulah.
Dari situlah pelbagai rungutan yang kami utarakan.

Salah seorang dari kawan saya itu, berasal dari utara dan tinggal di sini sudah tiga tahun kerana mengikut suaminya bekerja di negeri ini. Katanya, harga barangan dan makanan di sini jauh lebih mahal berbanding dengan negerinya. Dua bulan lepas seorang kawan datang bercuti di sini juga turut menyatakan perkara yang sama.
Memang saya akui dan saya juga merasai akan perkara itu. Jawapan saya, mungkin kerana tempat tumpuan pelancong dan sebab itulah harga menjadi mahal. Namun, adakah wajar sebegitu? Hakikatnya kenaikan harga barang ini bukan sahaja di sini tetapi di tempat lain juga, mungkin kenaikannya tidaklah seperti di sini.

Hari ini nilai wang RM10.00 sudah tidak sama dengan nilai wang RM10.00 pada 5 tahun yang lalu. Hari ini perbelanjaan saya untuk makan dan minum budget RM10.00 sehari. Namun, adakalanya akan terlebih dari RM10.00 bergantung kepada menu yang dipilih. Sebiji kuih pun sudah RM0.50. Sebelum membuat pilihan untuk makan perlu fikir dahulu berapa wang yang dimiliki? Keadaan yang sama apabila berada di tempat membeli belah, dengan nilai RM10.00 berapa jumlah barang yang boleh kita beli? Jika di sini pilihan saya adalah Kedai RM2.00 dan Pasaraya Sabasun...

Begitulah bebanan kos sara hidup pada hari ini. Bagaimana keadaannya 10 tahun akan datang? Masih bernilai lagikah RM10.00?
Sama-samalah kita fikirkannya...

Sekian...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...