Wednesday, September 17, 2014

Kunjungan Yang Tidak Terduga

Assalamualaikum...

Jam sekarang hampir menunjukkan pukul 10.30 malam. Mata masih lagi segar, belum mengantuk dan jari jemari teringin menaip sesuatu dan idea sudah tidak boleh lagi disimpan, perlu dilontarkan...

Sejak akhir-akhir ini saya sering dikunjungi oleh orang-orang yang sudah bertahun-tahun tidak saya temui. Tidak pernah terlintas di benak fikiran bahawa saya akan bertemu dengan mereka. Beberapa bulan lepas saya dikunjungi oleh seorang kawan lama yang dikenali sewaktu di universiti. Banyak kenangan kami sewaktu bersama. Yang tidak dapat saya lupakan, dia pernah bawakan saya isi buah durian yang sudah diasingkan dari kulitnya dengan menaiki bas.

Pada hari itu, sebaik sahaja selesai mesyuarat saya bergegas pulang ke pejabat setelah mendapat panggilan dari seorang kawan lain mengatakan ada seseorang yang sangat saya kenali ingin berjumpa. Sebaik sahaja sampai di pintu pejabat dia tiba-tiba muncul di hadapan... sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika itu. Kini dia adalah seorang peguam dan sudah memiliki sebuah keluarga dan seorang anak yang comel. Happy for you my friend.

Cerita seterusnya pada minggu ini, beberapa hari yang lepas. Asyik saya menyiapkan kerja, seseorang mengetuk pintu bilik pejabat dan setelah dibuka dari luar... "arrghhh rindunya"... itu ayat pertama yang kami sama-sama laungkan. Dialah kawan saya yang banyak membantu dan memberi semangat sewaktu kami sama-sama berada di taman ilmu dan budi beberapa tahun dahulu. Dia juga sudah berjaya, mempunyai firma guaman sendiri dan juga sebuah keluarga yang bahagia. Congrats my friend, happy for you too. Walaupun kunjungan-kunjungan ini hanya sekejap, namun sudah cukup untuk mengeratkan kembali ukhuwah yang sudah terjalin.

Saya sudahi coretan malam ini dengan kata-kata ini yang saya petik dari buku SMILE...

'Rakan-rakan di alam pekerjaan berbeza dengan rakan-rakan di alam persekolah. Ketika kita bersekolah kita berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa menjangka dia menjadi orang hebat pada masa akan datang. Mereka mempunyai nama tersendiri dalam dunia masing-masing, tetapi kerana persahabatan yang bermula dari nama yang kecil sehingga besar... itu yang menjadi lebih telus, ikhlas dan berpanjangan.'

Buat kawan-kawan saya itu terima kasih di atas kunjungan kalian. Semoga kita berjumpa lagi dan esok saya akan dikunjungi lagi oleh seseorang...♥

Sekian dan selamat malam...♡

Thursday, September 11, 2014

Obses Dengan Buku

Assalamualaikum...

Pagi ini cuaca agak sejuk, mungkin dek kerana malam tadi hujan turun membasahi bumi... Suasana sebegini sangat sesuai untuk mengayam mimpi, memandangkan hari ini pula cuti hujung minggu di sini. Rasanya tidak elok pula jika tidur sampai ke siang hari. Sudahnya keputusan dibuat untuk mencoretkan sesuatu di ruang maya ini.

Pagi ini saya mahu menulis tentang buku... Buku saya memang banyak, dari zaman sekolah, zaman universiti hinggalah sekarang saya suka beli buku. Adik pernah menegur, asyik membeli je, bila bacanya? Saya senyum je. Tidak dinafikan ada beberapa buah buku yang masih belum habis saya baca. Apa pun saya akan pastikan buku-buku itu saya akan baca. Apa sahaja buku yang saya rasakan menarik dan memberi manfaat akan menjadi pilihan... Tambahan pula, buku boleh dibeli secara online. Tidak perlu mengambil masa yang lama. Semua di hujung jari. Tetapi saya lebih suka membeli di kedai buku kerana ia satu kepuasan yang sukar digambarkan.

Sekarang sedang memikirkan cara untuk  menyediakan sebuah perpustakaan mini untuk buku-buku ini. Walaupun namanya perpustakaan mini, tetapi memerlukan ruang yang agak luas juga. Semoga impian ini tercapai suatu hari nanti. Sudah banyak buku yang telah diberikan kepada orang terutamanya buku-buku semasa belajar dahulu. Ada juga yang dipinjam dan tidak dikembalikan. Tidak mengapa. 

Ingin saya kongsikan beberapa mutiara kata tentang buku ;

♣Buku lama adalah buku baru bagi yang belum membacanya - Samuel Butler

♣Sebuah kamar tanpa buku bagaikan tubuh tanpa jiwa - Marcus T. Cicero

♣ Membaca buku pertama kalinya seperti berkenalan dengan seorang teman baru, membacanya untuk kali kedua seperti bertemu teman lama - Peribahasa Cina

Sampai di sini dahulu coretan saya untuk pagi ini. Selamat berhujung minggu dan selamat bercuti kepada kawan-kawan yang bergelar guru. Kebiasaannya cuti sekolah akan ada pesta buku...;-)

"BuKu AdAlAh JeNdElA KeHiDuPaN"

Tuesday, September 9, 2014

Saya Masih Ingin Menulis...♥

Assalamualaikum...

Terlalu lama saya meninggalkan dunia blogging. Bukan sudah tidak mahu menulis atau sudah kering idea, ini berpunca daripada laptop kesayangan saya sudah tidak dapat lagi memberi khidmatnya... Bukan tidak boleh untuk  mengemaskini blog dengan menggunakan computer di pejabat....tapi bersalah rasanya menggunakan harta bukan milik kita untuk kepentingan lain dan masa yang sepatutnya kita gunakan untuk melaksanakan amanah yang diberikan.

Kini saya sudah menemui cara baru dan lebih mudah untuk terus menulis di sini.... Via smart phone. Terima kasih mr google...:-) Ini percubaan pertama saya. Harap-harap berjaya... Sebagai permulaan saya sudahi dengan kata-kata ini...

"Buatlah orang lain gembira... nescaya Allah akan mengembirakan kita dengan perkara yang tidak kita jangka."

Sekian... ♡

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...