Monday, October 21, 2013

Penggunaan Bahasa Ringkas Dalam Bahasa Melayu




Berapa ramai agaknya di kalangan kita yang sedar bahawa bulan Oktober adalah Bulan Bahasa Kebangsaan? Mungkin ada yang bertanya, kenapa perlu saya ambil tahu? Pada saya, sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu mengambil tahu mengenainya dan sama-sama memberi sokongan. Antara perkara yang boleh kita lakukan ialah menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. 

Beberapa minggu lepas saya melihat adik sedang menyiapkan kerja sekolahnya. Saya melihat beberapa perkataan yang dieja secara ringkas seperti perkataan ‘selepas’ dieja ‘slps’, ‘Malaysia’ dieja ‘Msia’ dan beberapa perkataan lain lagi. Saya terfikir bagaimana agaknya sekiranya tabiat ini terbawa-bawa hingga ke dewan peperiksaan? 

Kita selalu menggunakan ejaan ringkas untuk menulis mesej di telefon bimbit. Itu boleh diterima kerana alasannya ingin menjimatkan ruang dan kos. Namun, penggunaan ejaan ringkas di kalangan pelajar pada hemat saya adalah tidak wajar walau apa sekalipun alasannya. Bunyinya seperti terlalu ‘extreme’ . Adik saya juga tidak boleh menerima pendapat saya ini. Tidak mengapa, semoga dia tidak membuat kesilapan semasa berada dalam peperiksaan nanti, terutamanya ketika menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu. Harus diingat biasanya tabiat akan mempengaruhi tindakan.

Secara realitinya sukar untuk membendung masalah penggunaan ejaan ringkas yang berlaku bukan sahaja di kalangan pelajar malah juga oleh semua golongan termasuk diri saya. Hal ini demikian kerana ia bergantung kepada sikap kita sebagai pengguna bahasa Melayu itu sendiri. Menggunakan bahasa Melayu dengan betul merupakan salah satu cara kita mendaulatkan dan memuliakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh yang demikian, bermula saat dan ketika ini… ayuh kita lakukan perubahan dengan menggunakan bahasa Melayu dengan betul iaitu tidak lagi menggunakan ejaan ringkas termasuklah di alam maya ini.

Di sini sedikit perkongsian tentang Bulan Bahasa Kebangsaan. Ia adalah kesinambungan kegiatan bahasa yang pernah diadakan pada tahun 1960-an. Bulan Bahasa Kebangsaan yang bermula pada 1961 sebenarnya bermula dengan Minggu Bahasa Kebangsaan dan telah dilancarkan pada 30 Januari 1960 di Kuala Lumpur oleh Tunku Abdul Rahman. Kemudian Minggu Bahasa Kebangsaan digantikan dengan Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan pada 22 Julai 1961 di Stadium Merdeka. Kini saban tahun setiap kali tiba bulan Oktober kita meraikannya.

1 Bahasa 1 Bangsa 1 Negara

Sekian untuk hari ini…                                                                                        

Monday, October 14, 2013

Berkorban Terletak Pada Kualiti Bukan Kuantiti




Labbaikallahumma Labbaika
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaika
Innalhamda Wal Ni'mata
Laka Wal Mulk Laa Syarikalaka

Mendengar bait-bait lagu nasyid dendangan kumpulan Raihan ini, hati terasa sayu. Setiap daripada kita pastinya mempunyai keinginan untuk menjadi tetamu Allah… Insya Allah…

Esok kita semua umat Islam akan meraikan satu lagi perayaan besar dalam agama kita iaitu hari raya eid adha… Setiap kali tiba eid adha akan mengingatkan kita kepada cerita pengorbanan Nabi Ibrahim yang mendapat perintah daripada Allah supaya mengorbankan putera kesayangannya Nabi Ismail. Betapa besarnya nilai pengorbanan baginda. 

Berkorban bukan sahaja dengan melakukan ibadah korban iaitu menyembelih binatang ternakan samata-mata, tetapi berkorban dalam konteks yang lebih luas lagi. Berkorban wang ringgit untuk didermakan kepada anak-anak yatim, berkorban masa untuk menziarahi jiran tetangga yang sakit berkorban tenaga untuk melakukan kerja-kerja amal dan sebagainya. Berkorban lillahi taala… Tidak perlu banyak kerana bukan terletak pada kuantitinya tetapi kualitinya. Ikhlas dan redha, melakukan sesuatu bukan kerana sesuatu yang lain.

Ikhlas itu ibarat semut hitam yang berjalan di atas batu yang hitam pada malam yang gelap gelita.

Ikhlas dan redha bukan suatu yang mudah, tapi kita boleh sama-sama berusaha untuk ikhlas demi mencari 
keredaannya.

Salam Eid Adha… Kullu am wa antum bikhair.


Friday, October 4, 2013

Hidup Indah Dengan Bersyukur




Kita suka melihat kebahagian dan kesenangan yang ada dalam kehidupan orang lain. Kemudian membandingkannya dengan kehidupan kita… Di sinilah puncanya kita akan merasakan bahawa kehidupan yang kita lalui ini masih ada yang belum sempurna dan kita akan mula mengeluh… kenapa kehidupan kita tidak seperti mereka-mereka itu? Mencari dan terus mencari. Hakikatnya, hidup ini lebih indah dan bermakna jika kita bersyukur.    

Alihkan mata ke laut, airnya cantik membiru dan penuh ketenangan... tetapi hanya Allah saja yang tahu rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan kita. Suka duka... hanya Allah yang tahu rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, pandanglah ke sungai airnya tetap mengalir biar pun berjuta batu menghalang. Jika rasa sedih, pandanglah ke langit lihat betapa luasnya alam dan kita akan sedar bahawa Allah sentiasa bersama...

I'm bless...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...