Friday, August 30, 2013

MALAYSIA NEGARAKU, JALUR GEMILANG BENDERAKU


Sedar tak sedar sudah lama rupanya saya tidak menulis di sini. Bukan tidak ada apa yang hendak dikongsikan, tetapi ada sahaja kekangan  yang menghalang. Apa pun blog ini mash lagi bernafas.

Memandangkan esok kita bakal menyambut hari kebangsaan yang ke 56, jadi coretan saya hari ini berkisar tentang kenegaraan. Bercakap tentang kenegaraan teringat saya celoteh ayah dan adik tentang Jalur Gemilang.

Beberapa hari yang lepas, ayah dan adik membawa balik dua helai Jalur Gemilang ke rumah. “Siapa beri?” Tanya saya. “Belilah.” Jawab adik. “Ingatkan ada orang beri percuma.” Saya mengomel sendirian. “Bukan mahal pun harga sehelai bendera ni.” Balas ayah. Saya hanya tersenyum mendengarnya. “Orang beri dengan beli sendiri tak sama nilainya.” Tambah adik pula. Sungguh bersemangat saya tengok adik dan ayah panjat tangga untuk gantung Jalur Gemilang di rumah kami. Semangat patriotic mereka ini, saya juga dapat merasainya. Kali ini ayah meletakkan Jalur Gemilang berkibaran di serambi rumah, bukan dip agar rumah seperti tahun lepas. Kata ayah, di sini paling sesuai dan selamat. Ia tidak akan koyak atau pudar dek kerana terkena panas mentari atau basah terkena hujan.

Sesungguhnya saya bersyukur kerana dilahirkan di bumi Malaysia yang bertuah ini. Bahkan jutaan warga asing juga turut menumpang mencari rezeki di sini. Sebagai generasi pasca merdeka perlu untuk kita kembali memahami sejarah negara. Apatah lagi akhir-akhir ini negara menghadapi pelbagai cabaran yang dilihat boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan malah meroboh perpaduan.

Tiada yang lebih berharga daripada mengecapi nikmat kemerdekaan dalam keadaan aman dan sejahtera. Tidak semua bangsa di dunia ini dapat mengecapi nikmat ini walaupun mereka mungkin sudah bebas daripada penjajah. Lihatlah apa yang berlaku di bumi Arab kini. Ia ibarat drama bersiri misteri yang tidak berkesudahan. Keadaannya sangat rumit membabitkan perbalahan semua pihak di rantau itu. Apa yang berlaku di sana memberi pengajaran yang bernilai untuk kita semua di sini. Suka saya memetik kata-kata ini, membina memerlukan masa puluhan tahun tetapi meranapkan hanya mengambil masa sehari. Semoga bumi Malaysia terus aman, damai dan makmur sentiasa…

MERDEKA! MALAYSIAKU BERDAULAT, TANAH TUMPAHNYA DARAHKU

Al fatihah buat semua wira-wira negara yang terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara… Al fatihah…

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...