Wednesday, April 10, 2013

Air Tangan Emak Sentiasa Di Ingatan


 
Sumber : Google
 
 
 
Sketsa di atas mengingatkan saya kepada permintaan saya kepada emak beberapa hari yang lalu. Ketika itu saya teringin sangat sup ayam yang dimasak oleh emak. Inilah cerita saya hari ini, bukan mengenai sup ayam tapi tentang air tangan emak yang sentiasa di ingatan anak-anak.
Setiap kali tiba waktu makan, pasti kita akan tertanya-tanya apa agaknya menu yang dimasak oleh emak hari ini? Apatah lagi sekiranya kita berada jauh dari keluarga dan hanya sekali sekala sahaja dapat pulang ke kampung dan dapat merasai keenakan masakan emak. Bagi yang tinggal bersama keluarga pula pastinya akan merindui keenakan masakan yang dimasak oleh emak apabila sekali sekala terpaksa berjauhan dari keluarga. Tiada siapa yang menyangkal bahawa masakan emak adalah yang terbaik. Tidak kira apa jua menu yang dimasak, tetap menambat selera walaupun hanya ikan kukus yang digoreng. Betulkan?
Persoalannya, apa agaknya yang menyebabkan masakan yang dimasak oleh emak menjadi sedap dan berjaya menambat selera kita sebagai anak dan juga ayah kita? Jika dilihat, kerja-kerja memasak hanyalah kerja-kerja fizikal seperti menggoreng, menumis, memotong, mengupas dan sebagainya. Pada hemat kita, semua orang boleh melakukannya.
Menurut satu artikel yang pernah saya baca mengatakan, semasa memasak seorang ibu akan niatkan di hati untuk sediakan makanan yang terbaik dari sentuhan tangannya untuk anak-anak dan suaminya. Di sinilah kesan rangsangan spiritual yang positif untuk anak-anaknya. Sungguh hebatkan, jalinan emosi dan tautan hati yang ditunjukkan oleh seorang ibu melalui masakan yang dimasak olehnya. Seorang ibu juga akan tetap menyediakan makanan untuk anak-anaknya, walau sesibuk mana pun dia. Begitulah keikhlasan yang ditunjukkan oleh seorang ibu. Dari sinilah, anak-anak jatuh kasih dan sayang kepada ibu mereka. 
Pepatah ada mengatakan, ‘tangan yang menghayung buaian mampu menggocang dunia’ begitulah perumpamaan yang diberikan untuk seorang wanita, seorang ibu. Kejayaan mereka dalam menguruskan urusan rumah tangga melalui sentuhan kasih sayang harus diberi penilaian yang tinggi. Bermula dari masakan seorang ibu berjaya membentuk jiwa anak-anak yang cemerlang dan terbilang.
Oleh itu, sejauh mana pun kita pergi dan di mana pun kita berada masakan ibu tetap di ingatan. Tidak mungkin akan dilupakan.
 
 
Sumber : Facebook

Air tangan seorang ayah juga mampu membuka selera dan mengikat kasih sayang.  
Nabi Muhammad S.A.W juga melakukan kerja-kerja di rumah. Seorang sahabat, Aswad bin Yazid berkata, “Aku bertanya Aishah, apakah kebiasaan Rasulullah S.A.W di rumah?” Aishah menjawab, baginda selalu membuat kerja rumah, kemudian setelah mendengar azan, baginda akan keluar rumah.”

Sekian coretan saya untuk kali ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...