Sunday, February 10, 2013

AMALAN MENULIS SURAT


 
 Beberapa hari yang lalu, saya menyelongkar beberapa kotak yang mengandungi buku-buku lama. Agak terkejut apabila saya terjumpa beberapa pucuk surat lama, kiriman daripada beberapa orang kawan. Kertas yang dahulunya putih, kini sudah bertukar menjadi kekuningan. Masih saya ingat, sewaktu berada di sekolah menengah dahulu surat menjadi medium yang menghubungkan saya dan kawan-kawan. Selepas tamat sekolah rendah kami terpisah kerana sekolah berlainan, jadi suratlah yang menjadi penghubung.

Budaya menulis surat kini semakin dilupakan dek kerana kecanggihan teknologi yang semakin mempengaruhi kehidupan kita sekarang. Hari ini kita bukan sahaja boleh berhubung antara satu sama lain melalui telefon, tetapi juga melalui ‘facebook’,’twitter’ dan ‘blog’. Yang pasti semua ini, cepat, mudah dan menjimatkan masa. Tidak perlu lagi untuk kita membuang masa pergi ke pejabat pos, beratur untuk membeli setem. Malah, surat yang dipos juga akan mengambil masa beberapa hari untuk sampai kepada penerimanya.

Saya sendiri pun sudah tidak lagi mengamalkan budaya menulis surat. Apa pun surat-surat ini akan terus saya simpan sebagai kenangan. Dalam hidup saya surat yang paling saya ingati dan paling bermakna, surat tawaran belajar ke universiti. Walaupun amalan menulis surat semakin lupus, saya yakin surat yang diterima itu pasti akan mempunyai nilainya yang tersendiri kepada penerimanya. Mungkin suatu masa nanti, surat akan kembali menjadi wadah penghubung antara satu sama lain.     

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...