Saturday, February 23, 2013

Motivasi Vitamin Kehidupan



Dalam meniti kehidupan ada ketika kita merasa sangat tidak berdaya dan kecewa. Apa yang diingini tidak menjadi, lantas semangat yang ada semakin luntur dan hilang untuk meneruskan kehidupan. Di saat dan ketika ini kehidupan memerlukan vitamin untuk mengembalikan semula semangat yang hilang itu…

 
Inilah vitamin kehidupan saya hari ini…
 
 
 

 
 
 
 
Sumber : Motivational, Inspirational and beautiful pictures page (Fb)
 
So...
I’m perfect in my imperfection, happy in my pain, strong in my weaknesses and beautiful in my own way… because I’m me myself…
I don’t have everything that I want but I do have all I need… I am blessed…Alhamdullilah.

Friday, February 22, 2013

Dalam Menggapai CintaMu




Sudah banyak kisah cinta yang dilihat, didengar dan dibaca… Ada suka ada duka, ada bahagia ada kecewa. Nukilan ini lahir dari hati di saat mentafsirkan kisah cinta yang dilihat… kisah cinta yang didengar… dan kisah cinta yang dibaca. 

Atas nama cinta, hidup menjadi indah sehingga ada yang mengambarkan ia seperti berada di ‘syurga’. Sungguh mengasyikkan dan terbuai dengan khayalan-khayalan yang tiada pengakhirannya. Ia bagaikan mutiara di dasar lautan.

Atas nama cinta, hidup menjadi sengsara. Keindahan bertukar menjadi ‘neraka’ dek kerana akal gagal menguasai dan nafsu bermaharajalela. Ia umpama duri sembilu yang menyakitkan. Punca itu terjadi kadang-kadang tiada siapa yang dapat mengerti.

Pada cintakah harus dipersalahkan?

Sedangkan Allah menciptakan cinta dan cinta itu fitrah manusia.

Bukan pada cinta yang harus dipersalahkan, tapi kita yang gagal melaksanakan hukum-hukum yang selayaknya dalam melayari cinta. Usah menjadikan cinta sebagai wadah untuk membenarkan dan menghalalkan yang haram.

Cinta ada ketika menyesakkan jiwa…
 
 

Maka, sebelum mendambakan cinta insani yang bersifat sementara, raihlah cinta hakiki sebaik-baik cinta. Itulah hakikat cinta.

Ya Allah, sentuhlah hatiku dengan kasihMu

Siramlah jiwaku dengan ketenangan 

Ya Allah, bantulah daku dalam menterjemahkan

Melodi cintaku buatMu yang tiada akhirnya.

 

Buat sahabat yang sentiasa diingati…

 
Wahai Maha Pengasih, jika sahabatku jatuh cinta
Benihkan cintanya kepada seseorang yang melabuhkan cinta kepadaMu
Agar bertambah kekuatannya untuk mencintaiMu
Wahai Maha Penyayang, jika sahabatku jatuh hati
Izinkanlah dia menyentuh hati orang yang hatinya terpaut kepadaMu
Agar sahabatku tidak jatuh dalam jurang cinta yang murah
Wahai Maha Pemurah, jika sahabatku rindu
Rindukanlah dia kepada seseorang yang merindui syahid di jalanMu dan
Biarkan rindunya kepadaMu
Agar sahabatku tidak lalai merindui syurgaMu… Aminnn…
 

Friday, February 15, 2013

Apabila Berbeza Pendapat




Kata orang rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Maka sebab itulah kita adakalanya berbeza pendapat antara satu lain. Ia boleh berlaku di mana-mana dan dengan siapa sahaja. Keadaan akan menjadi parah apabila perbezaan itu membawa kepada berlakunya konflik dan pergaduhan. Di pagi jumaat yang mulia ini saya ingin berkongsi sedikit tip apabila kita menghadapi masalah perselisihan pendapat.

-          Bersangka baik dengan semua pihak dan individu

-         Jangan mudah melatah. Berfikir secara rasional, mungkin disebabkan sedikit kekeliruan atau salah faham yang membawa kepada berlakunya perbezaan pendapat.

-         Set minda bahawa salah faham itu mungkin kerana pihak yang satu lagi tidak mempunyai ilmu berkenaan perkara tersebut.

-         Perbezaan pendapat itu adalah rahmat dan rahmat itu adalah perkara yang baik. Maka salah faham itu tidak perlu diperbesarkan.

-         Membuat teguran secara berhikmah. Jangan membuat teguran di hadapan khalayak ramai.

(Sumber rujukan : Solusi Isu No 45)

Semoga salah faham dan perbezaan pendapat sesama kita tidak berpanjangan dan ada jalan untuk memperbetulkannya. Paling penting ukhuwah persaudaraan dan persahabatan berkekalan…

Wallahu a’lam  

Thursday, February 14, 2013

Adaptasi Novel Kepada Drama Satu Fenomena


Suka dengan novel ini yang kini sudah diadaptasikan kepada drama
 
“Arghh… Novel lagi”, itulah reaksi saya sewaktu menonton sebuah drama bersiri yang diadaptasikan daripada sebuah novel yang disiarkan di kaca televisyen baru-baru ini. Kini menjadi satu fenomena kepada penerbit dan produser mengadaptasikan novel kepada filem atau drama bersiri. Cerita yang diadaptasikan ini pula berjaya mendapat tempat di hati penonton. Antaranya drama ‘Adam dan Hawa’ yang diadaptasikan daripada novel ‘Adam dan Hawa’ ternyata berjaya mendapat sambutan yang hangat daripada penonton.

Melihat fenomena ini terdetik di hati, sudah tiada lagikah idea yang menarik untuk menghasilkan karya yang menarik selain daripada mengadaptasikan cerita novel kepada drama atau filem? Hakikatnya, kepuasan membaca dan menonton adalah subjektif,masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Paling tidak, novel yang tidak pernah dibaca sampai juga kepada masyarakat. Saya sendiri tidak pernah membaca novel ‘Adam dan Hawa’, dek kerana ia diadaptasikan kepada drama, telah mengerakkan hati saya untuk membeli dan membacanya.

Seperti mana yang kita maklum, tabiat membaca masyarakat kita masih lagi berada di tahap yang rendah, ini satu kaedah permulaan untuk menambah minat orang ramai untuk membaca walaupun hanya membaca novel. Ini kerana ada novel bukan sekadar cerita, tetapi ada ilmu dan mantap isi kandungannya. Bahkan juga, cara ini mungkin dapat mengubah tanggapan segelintir daripada kita yang menganggap novel adalah bacaan budak remaja yang tidak berpijak di bumi yang nyata. 

Bukan itu sahaja, penulis juga mendapat faedah apabila royalti mereka dinaikkan berkali ganda. Memetik kata-kata Novelis Sri Diah dalam tulisannya yang bertajuk ‘Kaji kenapa novel lapuk di gudang’ mengatakan, penat-lelah mereka menghasilkan karya berbaloi. Karya itu bukan sahaja laris dalam bentuk novel naskhah, bahkan sudah layak diadaptasi ke layar untuk lebih dinikmati oleh jutaan penonton. Ini bermakna lebih ramai lagi dapat menikmati hasil kreativiti penulis-penulis novel.  

Beberapa hari yang lalu, saya ada terbaca utusan online yang bertajuk ‘kenapa pilih novel picisan?’ Antara persoalan yang diajukan ialah, kenapa penerbit serta pengarah kita hanya berlumba-lumba untuk mengadaptasikan novel-novel picisan sahaja? Saya bersetuju dengan penulisnya, memilih novel yang hebat untuk diadaptasikan kepada bentuk drama akan menjadikan drama itu sebuah karya yang hebat.  Dari segi pemilihan novel yang akan diadaptasikan pula menurut Sri Diah, kenyataan menunjukkan novel itu popular terlebih dahulu dalam kalangan pembaca. Kemudian pihak penerbit mencadangkan novel itu kepada pihak produksi untuk diadaptasi dan akhirnya hasil kolaborasi penerbit dan produser berjaya melariskan lagi jualan novel-novel adaptasi.

Apa yang bermain di minda saya adalah mengenai novel picisan. Apa yang dikatakan novel picisan itu? Saya tidak bersetuju jika ada yang mengatakan novel cinta itu adalah novel picisan, tetapi ia boleh menjadi picisan apabila tiada apa-apa nilai yang diterapkan di dalamnya. Hanya mengagung-agungkan kisah cinta remaja tanpa landasan yang betul, itu adalah novel picisan. Sememangnya ada novel sebegitu. Saya mengatakan novel cinta bukan picisan kerana cinta adalah pelengkap nyawa dalam jasad dan menjadi fitrah manusia sejagat.

Selagi sebuah novel itu mempunyai ilmu yang dikongsikan dengan pembaca, fakta yang betul, jalan cerita yang logik, tidak ada unsur-unsur yang menyesatkan, tiada adegan seks dan lucah dan tidak pernah membuatkan pembaca melupakan Allah, cukup untuk tidak melebelkan ia sebagai picisan. Saya sangat bersetuju dengan pendapat penulis Aina Emir dalam tulisannya di blog beliau mengenai novel picisan.

Konklusinya, selagi cerita yang diadaptasikan daripada novel kepada drama itu tidak memberi kesan yang buruk kepada penulis dan penonton, maka ia akan menjadi satu usaha yang murni dalam memartabatkan dunia penulisan novel.

Tiba-tiba terdetik juga di hati takut sekiranya penulisan yang sedang saya usahakan ini dianggap sebagai picisan… Tersenyum sejenak, saya akan cuba sedaya upaya untuk tidak menulis sesuatu yang menyebabkan orang menganggap tulisan saya sebagai picisan.

Sunday, February 10, 2013

AMALAN MENULIS SURAT


 
 Beberapa hari yang lalu, saya menyelongkar beberapa kotak yang mengandungi buku-buku lama. Agak terkejut apabila saya terjumpa beberapa pucuk surat lama, kiriman daripada beberapa orang kawan. Kertas yang dahulunya putih, kini sudah bertukar menjadi kekuningan. Masih saya ingat, sewaktu berada di sekolah menengah dahulu surat menjadi medium yang menghubungkan saya dan kawan-kawan. Selepas tamat sekolah rendah kami terpisah kerana sekolah berlainan, jadi suratlah yang menjadi penghubung.

Budaya menulis surat kini semakin dilupakan dek kerana kecanggihan teknologi yang semakin mempengaruhi kehidupan kita sekarang. Hari ini kita bukan sahaja boleh berhubung antara satu sama lain melalui telefon, tetapi juga melalui ‘facebook’,’twitter’ dan ‘blog’. Yang pasti semua ini, cepat, mudah dan menjimatkan masa. Tidak perlu lagi untuk kita membuang masa pergi ke pejabat pos, beratur untuk membeli setem. Malah, surat yang dipos juga akan mengambil masa beberapa hari untuk sampai kepada penerimanya.

Saya sendiri pun sudah tidak lagi mengamalkan budaya menulis surat. Apa pun surat-surat ini akan terus saya simpan sebagai kenangan. Dalam hidup saya surat yang paling saya ingati dan paling bermakna, surat tawaran belajar ke universiti. Walaupun amalan menulis surat semakin lupus, saya yakin surat yang diterima itu pasti akan mempunyai nilainya yang tersendiri kepada penerimanya. Mungkin suatu masa nanti, surat akan kembali menjadi wadah penghubung antara satu sama lain.     
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...