Wednesday, January 9, 2013

MeLeNTuR BuLuH BiaRLaH DaRi ReBuNGnYa


 
 
Semalam saya terdengar perbualan antara ibu saudara dan emak, mereka bercakap-cakap mengenai cara mendidik anak-anak. Ibu saudara saya itu mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Katanya kita tidak boleh memandang enteng dalam mendidik anak-anak. Saya melihat dia sangat menitik beratkan dalam isu ini dengan selalu mencari input mengenai cara mendidik anak-anak sama ada melalui pembacaan atau bertanya kepada ibu-ibu yang lebih berpengalaman. Katanya lagi, dia tidak mahu apabila anak-anaknya sudah besar, baru dia merungut kenapa anaknya begitu? kenapa anaknya begini? Menyesal kerana kelemahannya dalam mendidik.

Saya kagum dengannya dan beberapa orang kawan yang begitu mengambil berat dalam soal mendidik anak-anak. Tugas mendidik ini perlu bermula dari kecil bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Buluh jika hendak dilentur hendaklah dilentur ketika ia masih rebung kerana ketika itu ia masih lembut dan mudah dibentuk. Itulah antara kata-kata emak yang selalu saya dengar. Jika anak itu sudah dewasa baru hendak dididik buat itu, buat ini, jangan buat itu, jangan buat ini… pastinya sukar kerana mereka dari kecil sudah biasa dengan cara hidup yang telah sekian lama mereka praktikan.

Anak-anak perlu dididik dengan ilmu agama sejak dari kecil, antaranya mereka perlu dididik tentang mengenali Allah, solat, membaca Al-Quran dan akhlak yang terpuji. Seorang kawan menulis di wall facebooknya, mendidik anakku (2 thn 7 bln) mengenal Allah sejak dia berumur setahun lebih sudah nampak hasilnya alhamdulillah,apabila setiap kali:

1- nak tidur dia berkata: rasyad sayang Allah..Allah pun sayang rasyad.

 2- melihat langit,bulan,matahari dan bintang dia berkata: Allah yg buat (cipta)

 3- sakit atau terjatuh dia akan kata: kenapa Allah buat rasyad sakit!!!

4- melihat masjid: ini rumah Allah.

 5- bila saya marah dia, dia bertanya: Allah marah ke rasyad buat mcm ni?

Sejuk hati mendengarnya. Inilah fitrah suci pada kanak-kanak. Anak-anak ibarat kain putih, kita yang mencorakkannya. Saya sempat menghantar mesej kepada kawan saya itu dan bertanya bagaimana dia melakukannya? Katanya, dia biasakan bercakap dengan anaknya mengenai kewujudan Allah dengan melihat alam sekeliling. Waktu itu anaknya belum boleh bercakap. Pada mulanya dia sendiri tidak yakin dan terdetik dalam hati faham ke budak kecil  tentang tuhanNya  dan apabila anaknya sudah pandai bercakap itulah hasilnya. Menakjubkan…

Menurut Profesor Dr Muhaya Mohamad, peranan ibubapa dalam mendidik anak-anak sangat penting dan menurutnya lagi perancang kejayaannya hari ini adalah bapanya. Dunia yang penuh mencabar kini tugas mendidik juga dilihat semakin mencabar, tapi jika mereka dididik dari awal dan betul caranya pasti akan tiada lagi masalah remaja yang semakin berleluasa kini. Segalanya bermula dari rumah….

Kepada adik-adik remaja yang sering memberi alasan, saya jadi begini kerana masalah keluarga… JANGAN jadikan masalah keluarga sebagai penghalang. Kalau kita bagus dalam apa jua situasi pun kita boleh mencipta kejayaan – Inilah pesanan ayah Dr Muhaya kepadanya.

Buat mak dan ayah, terima kasih telah mendidik kami adik beradik sehingga berada di tahap ini...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...