Saturday, January 26, 2013

BaCaLaH!!!




Entri saya untuk kali ini saya ingin mencoretkan sesuatu tentang ilmu. Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan. Sejarah keagungan Islam juga terletak pada tamadun yang berilmu. Buktinya lahir tokoh-tokoh cendekiawan seperti Iman Syafie, Ibn Sina, Iman Abu Hanifah dan ramai lagi. Kita sering kali mendengar ungkapan ‘membaca jambatan ilmu’. Ini menunjukkan membaca amat sinonim dengan ilmu. Hal ini demikian kerana ilmu hanya akan diperolehi melalui budaya membaca.

Menurut kamus dewan edisi keempat (2005), membaca ialah memerhatikan isi sesuatu yang bertulis atau bercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Berdasarkan kajian Dewan Industri Buku Melayu Malaysia, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM 1 bilion setahun untuk membeli buku. Pada hemat kita angka itu sangat besar, namun jika diambil kira jumlah keluarga di Malaysia secara purata setiap keluarga di negara ini hanya membelanjakan sebanyak RM 50.00 setahun untuk membeli buku. Ini jelas menunjukkan bahawa budaya membaca masih rendah terutamanya di kawasan luar bandar. Ini terbukti apabila cuti sekolah yang lalu saya berkunjung ke pesta buku yang diadakan di sekitar tempat tinggal saya. Keadaan amat menyedihkan kerana suasananya agak lengang jika dibandingkan dengan suasana yang penuh sesak di gerai-gerai lain yang menjual baju dan tudung.

Hakikatnya budaya membaca sudah lama dipupuk sejak zaman persekolahan lagi, namun budaya ini masih berada di tahap yang rendah jika ingin dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun. Alasan yang sering kedengaran tiada masa, malas membebankan otak untuk berfikir bagi karya-karya yang berat dan ada juga yang memberi alasan buku kini mahal. Malah ada juga alasan bahawa internet menjadi punca hilangnya minat membaca. Dengan hanya mengakses internet iaitu menekan kata kunci carian di google kita boleh mendapat pelbagai maklumat dengan cepat, tepat dan terkini. Tidak hairanlah penulisan sebegitu ilmiah dan panjang akan mengundang rasa malas untuk membaca.

Apa jua alasan yang diberikan perlu diingat dalam Islam, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah tentang kewajipan mencari ilmu. Ayat pertama yang diturunkan ialah ‘iqra’’ atau ‘bacalah’. Memetik kata-kata Napoleon Bonarparte, raja Perancis yang menaiki takhta pada tahun 1799 mengatakan sesiapa yang membaca dan mengamalkan apa-apa yang dibaca akan dapat memerintah dunia. Saya melihat kata-kata ini ada benarnya apabila melihat kepada ikon membaca kebangsaan yang juga merupakan bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir. Malaysia berada di bawah pemerintahan beliau selama 22 tahun dan banyak kemajuan serta pembangunan yang direalisasikan oleh Tun sepanjang pemerintahannya. Beliau suka membaca sejak dari kecil lagi. Bahkan juga, deria dan minda yang dicerna dengan ilmu hasil pembacaan akan menjana kehidupan yang sentiasa inginkan perubahan.
Jesteru itu, bulan Julai setiap tahun telah diiktiraf sebagai bulan membaca kebangsaan. Bukan itu sahaja, pelbagai kempen kesedaran juga telah dilaksanakan. Persoalannya, sejauh manakah
keberkesanannya? Solusinya harus bermula dengan diri sendiri, ubah sikap malas membaca dengan memupuk sikap cintakan ilmu dan membudayakan tabiat membaca. Bacalah apa sahaja yang boleh memberi manfaat, mulakan dengan bacaan ringan seperti akhbar, majalah dan buku-buku ringan. Minat kepada buku harus dipupuk sejak kecil dan inilah peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa.

Hilang minat membaca generasi pada hari ini pasti akan mengundang risiko memiliki masyarakat yang kurang analitikal. Teringat kata-kata seorang kawan, negara mungkin pesat membangun dan mencapai gagasan wawasan 2020 tetapi mentaliti rakyat Malaysia masih berada di tahap yang rendah. Konklusinya, tanamkan tabiat membaca dan sukakan buku dalam diri, apabila ia sudah sebati dalam diri, kita akan rasa sesuatu yang kurang sekiranya tidak membaca dan akan selalu ingin mencari sesuatu untuk dibaca.

Bacalah!!! Membaca seolah-olah kita mengembara menerusi buku-buku yang dibaca. Ia satu perjalanan yang mengasyikkan… Berjalan bersama kisah-kisah manusia yang berada dalam dunia buku yang sangat memeranjatkan kerana di situ kita akan menemui pelbagai rasa dan perasaan…     
 
MEMBACA JUGA UNTUK MENULIS!!!


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...