Saturday, January 26, 2013

BaCaLaH!!!




Entri saya untuk kali ini saya ingin mencoretkan sesuatu tentang ilmu. Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan. Sejarah keagungan Islam juga terletak pada tamadun yang berilmu. Buktinya lahir tokoh-tokoh cendekiawan seperti Iman Syafie, Ibn Sina, Iman Abu Hanifah dan ramai lagi. Kita sering kali mendengar ungkapan ‘membaca jambatan ilmu’. Ini menunjukkan membaca amat sinonim dengan ilmu. Hal ini demikian kerana ilmu hanya akan diperolehi melalui budaya membaca.

Menurut kamus dewan edisi keempat (2005), membaca ialah memerhatikan isi sesuatu yang bertulis atau bercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Berdasarkan kajian Dewan Industri Buku Melayu Malaysia, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM 1 bilion setahun untuk membeli buku. Pada hemat kita angka itu sangat besar, namun jika diambil kira jumlah keluarga di Malaysia secara purata setiap keluarga di negara ini hanya membelanjakan sebanyak RM 50.00 setahun untuk membeli buku. Ini jelas menunjukkan bahawa budaya membaca masih rendah terutamanya di kawasan luar bandar. Ini terbukti apabila cuti sekolah yang lalu saya berkunjung ke pesta buku yang diadakan di sekitar tempat tinggal saya. Keadaan amat menyedihkan kerana suasananya agak lengang jika dibandingkan dengan suasana yang penuh sesak di gerai-gerai lain yang menjual baju dan tudung.

Hakikatnya budaya membaca sudah lama dipupuk sejak zaman persekolahan lagi, namun budaya ini masih berada di tahap yang rendah jika ingin dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun. Alasan yang sering kedengaran tiada masa, malas membebankan otak untuk berfikir bagi karya-karya yang berat dan ada juga yang memberi alasan buku kini mahal. Malah ada juga alasan bahawa internet menjadi punca hilangnya minat membaca. Dengan hanya mengakses internet iaitu menekan kata kunci carian di google kita boleh mendapat pelbagai maklumat dengan cepat, tepat dan terkini. Tidak hairanlah penulisan sebegitu ilmiah dan panjang akan mengundang rasa malas untuk membaca.

Apa jua alasan yang diberikan perlu diingat dalam Islam, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah tentang kewajipan mencari ilmu. Ayat pertama yang diturunkan ialah ‘iqra’’ atau ‘bacalah’. Memetik kata-kata Napoleon Bonarparte, raja Perancis yang menaiki takhta pada tahun 1799 mengatakan sesiapa yang membaca dan mengamalkan apa-apa yang dibaca akan dapat memerintah dunia. Saya melihat kata-kata ini ada benarnya apabila melihat kepada ikon membaca kebangsaan yang juga merupakan bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir. Malaysia berada di bawah pemerintahan beliau selama 22 tahun dan banyak kemajuan serta pembangunan yang direalisasikan oleh Tun sepanjang pemerintahannya. Beliau suka membaca sejak dari kecil lagi. Bahkan juga, deria dan minda yang dicerna dengan ilmu hasil pembacaan akan menjana kehidupan yang sentiasa inginkan perubahan.
Jesteru itu, bulan Julai setiap tahun telah diiktiraf sebagai bulan membaca kebangsaan. Bukan itu sahaja, pelbagai kempen kesedaran juga telah dilaksanakan. Persoalannya, sejauh manakah
keberkesanannya? Solusinya harus bermula dengan diri sendiri, ubah sikap malas membaca dengan memupuk sikap cintakan ilmu dan membudayakan tabiat membaca. Bacalah apa sahaja yang boleh memberi manfaat, mulakan dengan bacaan ringan seperti akhbar, majalah dan buku-buku ringan. Minat kepada buku harus dipupuk sejak kecil dan inilah peranan yang harus dimainkan oleh ibu bapa.

Hilang minat membaca generasi pada hari ini pasti akan mengundang risiko memiliki masyarakat yang kurang analitikal. Teringat kata-kata seorang kawan, negara mungkin pesat membangun dan mencapai gagasan wawasan 2020 tetapi mentaliti rakyat Malaysia masih berada di tahap yang rendah. Konklusinya, tanamkan tabiat membaca dan sukakan buku dalam diri, apabila ia sudah sebati dalam diri, kita akan rasa sesuatu yang kurang sekiranya tidak membaca dan akan selalu ingin mencari sesuatu untuk dibaca.

Bacalah!!! Membaca seolah-olah kita mengembara menerusi buku-buku yang dibaca. Ia satu perjalanan yang mengasyikkan… Berjalan bersama kisah-kisah manusia yang berada dalam dunia buku yang sangat memeranjatkan kerana di situ kita akan menemui pelbagai rasa dan perasaan…     
 
MEMBACA JUGA UNTUK MENULIS!!!


Saturday, January 12, 2013

PeRiHaL BiMbAnG





Bimbang…

Perasaan keluh kesah yang merusuh di dalam jiwa.

Kebimbangan yang melampau akan membantutkan semua tugasan.

Sedikit bimbang membawa kepada hati-hati…

Tapi jika…

Terlebih bimbang membuka ruang yang lebih luas lagi kepada pintu kebimbangan…

Namun…

Bimbang yang wajar perlu dalam setiap perbuatan dan percakapan...

Kerana…

Bimbang yang wajar membawa kepada tindakan yang lebih rasional

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kebimbangan  dan kesedihan.” (Riwayat Abu Daud)
Sumber : Solusi, Isu no 45

Wednesday, January 9, 2013

MeLeNTuR BuLuH BiaRLaH DaRi ReBuNGnYa


 
 
Semalam saya terdengar perbualan antara ibu saudara dan emak, mereka bercakap-cakap mengenai cara mendidik anak-anak. Ibu saudara saya itu mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Katanya kita tidak boleh memandang enteng dalam mendidik anak-anak. Saya melihat dia sangat menitik beratkan dalam isu ini dengan selalu mencari input mengenai cara mendidik anak-anak sama ada melalui pembacaan atau bertanya kepada ibu-ibu yang lebih berpengalaman. Katanya lagi, dia tidak mahu apabila anak-anaknya sudah besar, baru dia merungut kenapa anaknya begitu? kenapa anaknya begini? Menyesal kerana kelemahannya dalam mendidik.

Saya kagum dengannya dan beberapa orang kawan yang begitu mengambil berat dalam soal mendidik anak-anak. Tugas mendidik ini perlu bermula dari kecil bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Buluh jika hendak dilentur hendaklah dilentur ketika ia masih rebung kerana ketika itu ia masih lembut dan mudah dibentuk. Itulah antara kata-kata emak yang selalu saya dengar. Jika anak itu sudah dewasa baru hendak dididik buat itu, buat ini, jangan buat itu, jangan buat ini… pastinya sukar kerana mereka dari kecil sudah biasa dengan cara hidup yang telah sekian lama mereka praktikan.

Anak-anak perlu dididik dengan ilmu agama sejak dari kecil, antaranya mereka perlu dididik tentang mengenali Allah, solat, membaca Al-Quran dan akhlak yang terpuji. Seorang kawan menulis di wall facebooknya, mendidik anakku (2 thn 7 bln) mengenal Allah sejak dia berumur setahun lebih sudah nampak hasilnya alhamdulillah,apabila setiap kali:

1- nak tidur dia berkata: rasyad sayang Allah..Allah pun sayang rasyad.

 2- melihat langit,bulan,matahari dan bintang dia berkata: Allah yg buat (cipta)

 3- sakit atau terjatuh dia akan kata: kenapa Allah buat rasyad sakit!!!

4- melihat masjid: ini rumah Allah.

 5- bila saya marah dia, dia bertanya: Allah marah ke rasyad buat mcm ni?

Sejuk hati mendengarnya. Inilah fitrah suci pada kanak-kanak. Anak-anak ibarat kain putih, kita yang mencorakkannya. Saya sempat menghantar mesej kepada kawan saya itu dan bertanya bagaimana dia melakukannya? Katanya, dia biasakan bercakap dengan anaknya mengenai kewujudan Allah dengan melihat alam sekeliling. Waktu itu anaknya belum boleh bercakap. Pada mulanya dia sendiri tidak yakin dan terdetik dalam hati faham ke budak kecil  tentang tuhanNya  dan apabila anaknya sudah pandai bercakap itulah hasilnya. Menakjubkan…

Menurut Profesor Dr Muhaya Mohamad, peranan ibubapa dalam mendidik anak-anak sangat penting dan menurutnya lagi perancang kejayaannya hari ini adalah bapanya. Dunia yang penuh mencabar kini tugas mendidik juga dilihat semakin mencabar, tapi jika mereka dididik dari awal dan betul caranya pasti akan tiada lagi masalah remaja yang semakin berleluasa kini. Segalanya bermula dari rumah….

Kepada adik-adik remaja yang sering memberi alasan, saya jadi begini kerana masalah keluarga… JANGAN jadikan masalah keluarga sebagai penghalang. Kalau kita bagus dalam apa jua situasi pun kita boleh mencipta kejayaan – Inilah pesanan ayah Dr Muhaya kepadanya.

Buat mak dan ayah, terima kasih telah mendidik kami adik beradik sehingga berada di tahap ini...

Saturday, January 5, 2013

HiDuP MeMaNG PaYaH





Hari ini adalah hari ke 5 kita berada di tahun baru 2013. Semoga 2013 lebih baik dari 2012, itulah harapan semua daripada kita. Di sebalik harapan itu, perjalanan kehidupan yang bakal kita lalui pasti menemukan kita dengan duri dan batu yang tajam serta bunga yang beracun. Apa yang pasti tidak ada kehidupan yang terlepas daripada diuji dan dilanda musibah. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan kami telah beriman dan mereka tidak diuji Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.”           (Surah Al-Ankabut : 2-3)

Jelaslah bahawa ‘Life is not easy’- Hidup tidak mudah kerana hidup memang payah dan sebab itulah saya memilih nama ini untuk blog saya. Di ruang yang kecil ini, saya ingin  berkongsi tentang cerita kehidupan yang di dalamnya tidak selalunya cerah adakalanya ditutupi dengan awan kelabu, hidup juga tidak selalunya indah adakalanya penuh dengan ranjau yang berliku. Di sebalik kepayahan itu ada kesenangan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Oleh sebab itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (sekali lagi ditegaskan) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”             (Surah Al-Insyirah : 5-6)

Hati adakalanya keresahan dan berkecamuk setelah hikmah yang dicari tidak kunjung tiba. Memetik kata-kata Pahrol Mohamad Juoi, hikmah ialah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan. Menurut beliau lagi di sinilah hati perlu dididik untuk bersabar, berbaik sangka dan berusaha. Itulah solusi yang terbaik.

Ayuh kita hayati sejenak bait-bait lagu nasyid yang didendangkan oleh Yasin – Hidup memang payah.

Hidup ini memang payah
Kadang gelap kadang cerah
Hati ini jika resah
Siksa jiwa takkan sudah

 
Hidup ini memang payah
Ku terima ku berserah
Hati ini bila pasrah
Yang susah bisa mudah

 
Kehendak manusia mencari yang mudah itu terlalu mendesak, kita susah merelakan kesusahan itu datang dahulu untuk mengajar mengenal kehidupan bertuhan.
Kita terlalu ingin segera merasai manisnya masam, bersabarlah duhai hati kerana bersabar itu indah di akhirnya...:)  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...