Wednesday, June 6, 2012

Pertemuan Kembali


Persahabatan ibarat satu janji yang dibuat dalam hati, tidak dapat ditulis dan tidak dapat dibaca. Namun, tidak akan terpisah dek jarak dan tidak akan diubah dek masa. Sekali kita ikrarkan selamanya bersama. Begitulah tiada ungkapan perpisahan dalam persahabatan, walaupun maut menjadi nohtahnya. Seorang sahabat itu terlalu istimewa dalam doa saudaranya yang lain biar pun tanpa bayangnya.

Sukar untuk saya gambarkan rasa hati tak kala seorang kawan menghantar mesej menjemput saya untuk bertandang ke rumah 2 orang kawan kami yang sudah lama tidak bersua muka. Hampir 12 tahun kami tidak bersua. Laman sosial 'facebook' sebagai medium pengantar antara kami dan pertemuan diatur bermula dari laman sosial ini. Kali terakhir kami bersua muka ialah semasa peperiksaan SPM dan kemudian kami membawa haluan masing-masing. Persahabatan yang dibina sejak zaman sekolah rendah, kini bertaut kembali.

Tanggal 3 Jun 2012 kami dipertemukan kembali. Pertemuan singkat pada petang itu membawa kami mengimbau kembali memori di zaman persekolahan dahulu. Pelbagai peristiwa pahit, manis kami lalui. Tidak ketinggalan kami bercerita tentang perkembangan diri masing-masing... dua orang kawan saya itu sudah bergelar pendidik dan mempunyai keluarga bahagia. Kebetulan kedua-dua mereka mempunyai anak kecil yang comel. Terlalu cepat masa meninggalkan kami, rasa baru semalam kami bergelak ketawa dan riang gembira meraikan tamatnya peperiksaan SPM. Kini masing-masing sudah mempunyai tanggungjawab dan komitmen sendiri. 

Semoga ukhuwah yang terjalin kembali ini persis untaian tasbih...
Ada awal tiada penghujung. 
Dibuat untuk mengingatinya, dicantum kerana cintaNya, diratib semata-mata kerana redhaNya.

  • Jangan memilih dalam bersahabat, namun perlu dingat sahabat itu menjadi inspirasi perangai kita...Itu pesan emak saya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...