Friday, June 29, 2012

Kembalikan Mood Ceria Dengan Aiskrim

Aiskrim, yumyum... kelazatannya bagi saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi menikmati kelazatannya ketika cuaca panas. Sungguh menyamankan tekak yang kering. Di pagi jumaat penghulu segala hari ini, saya ingin mencoretkan sesuatu tentang aiskrim.

Saya masih ingat, dahulu sewaktu zaman persekolahan ayah selalu belikan saya aiskrim kon yang dijual oleh pak cik motor di tepi pagar sekolah. Waktu itu harganya hanya 20sen. Walaupun murah dan tidak mengujakan seperti aiskrim yang berada di pasaran hari ini, tetapi ia memberi kepuasan tersendiri. Kini  terdapat pelbagai jenis aiskrim yang telah diubah suai daripada konsep asalnya dan dilengkapi dengan hiasan yang mengujakan seperti salutan coklat dan cip coklat.

Di sebalik kelazatan aiskrim, ada sesuatu yang tersembunyi... Aiskrim boleh mendatangkan mood ceria dan gembira di saat kita bersedih. Kenapa? Mungkin kerana sifatnya yang manis, dingin dan menyenangkan apabila ditelan. Aiskrim bukan sahaja dapat dirasa oleh lidah, bahkan juga dirasai oleh mata dengan pelbagai warna yang menarik di atasnya. Jika kita perhatikan kebanyakkan drama korea seperti 'Fullhouse' dan 'Boys Over Flower' menggunakan aiskrim sebagai pemujuk.

Apabila dihulurkan sahaja aiskrim walaupun tanpa hiasan yang mengujakan, pasti hati menjadi cair dan kembali ceria. Begitulah kuasa aiskrim boleh mengubah suasana. Bukan itu sahaja, bagi saya aiskrim juga boleh dijadikan sebagai alat untuk meraikan sesuatu yang begitu peribadi... mungkin di saat kita gembira... Saya pernah meraikan tamatnya peperiksaan akhir (final exam) dengan menikmati kelazatan aiskrim.

Ini aiskrim kegemaran saya dan adik...yummy

Ayuh, kembalikan mood ceria dengan aiskrim...:)

### Menikmati kelazatan aiskrim di tepi padang Mahallah Saffiyyah, UIAM masih terpahat di hati... Sweet Memory ###


Sunday, June 24, 2012

Coretan Buat Adik

Antara CINTA dan CITA-CITA

Yang mana menjadi pilihanmu? Di saat ini mungkin kamu binggung membuat pilihan...

Mungkin kamu terpaksa...
Korbankan CINTA demi CITA-CITA atau
Korbankan CITA-CITA demi CINTA.... KERANA

Mungkin kamu fikir...
Hadirnya CINTA akan memberi semangat dan dorongan untuk mengejar CITA-CITA atau
Hadirnya CINTA akan melalaikan dirimu dari terus mengejar CITA-CITA

Pastinya kamu masih keliru... Ayuh kita perincikan apa itu CINTA dan apa itu CITA-CITA.


Perasaan halus yang lahir dari hati yang ingin dicintai dan disayangi, mencintai dan menyayangi... Wah, pasti kamu merasakan indahnya hidup dengan CINTA... Tetapi, awas CINTA manusia hanya bersifat sementara. Hati manusia sering berubah-ubah. Jangan terjerat dengan CINTA manusia... Perjalananmu masih jauh beibu batu.
Di saat ini CINTA ALLAH perlu didahulukan, kelak pasti ada CINTA insani buatmu.

CITA-CITA

Impian yang bersulamkan keazaman dan kesungguhan. Bukan angan-angan kosong, adanya matlamat yang perlu digapai dan kini tanggungjawab sebagai penuntut ilmu perlu diutamakan...
Demi keputusan yang cemerlang
Demi pekerjaan yang bagus
Demi jaminan kehidupan yang gemilang di dunia dan di akhirat
Di saat ini TUNTUTLAH ILMU, kelak pasti CITA-CITAmu akan tercapai.

Kini pilihan di tanganmu... Selami hati tanya diri.

CINTA TANPA CITA-CITA....CINTA manusia yang pastinya akan pergi meninggalkanmu suatu hari nanti
CITA-CITA TANPA CINTA... CITA-CITA yang hadir bersamanya adalah ilmu yang pastinya kekal di sisimu




Cinta pada bunga, bunga akan layu
Cinta pada manusia, manusia akan mati
Tapi, cinta pada Allah adalah 
Cinta yang kekal
 ABADI...





Coretan ini ditulis sebagai tanda kasih sayang seorang kakak kepada adiknya...:)

(Tulisan ini saya dedikasikan buat adik saya dan juga adik-adik yang masih berada di bangku sekolah)

Wednesday, June 20, 2012

Sulh penyelesaian di luar mahkamah


Sulh ialah kaedah alternatif (penyelesaian di luar mahkamah) kepada kaedah perbicaraan di mahkamah yang kebiasaannya mengambil masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi. Tuntutan atau permohonan yang dibuat mestilah melibatkan hak dan tanggungjawab dalam hal ehwal kekeluargaan Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Petang semalam seorang pak cik (jiran saya) menunjukkan notis mahkamah yang diterimanya kepada saya - notis kehadiran majlis sulh. Notis ini diterima ekoran daripada permohonan cerai yang difailkan oleh isterinya. 


Secara kebetulan seorang kawan pernah bertanya, apa itu majlis sulh? Di sini sedikit perkongsian ringkas tentang majlis sulh.

Apa Itu Sulh?
Secara amnya, sulh merupakan penyelesaian suatu pertikaian antara pihak yang bertikai dalam sesuatu isu dengan cara persetujuan bersama antara mereka sendiri dan bukannya diputuskan oleh pihak ketiga.

Majlis Sulh : Suatu proses perundingan terpimpin yang dijalankan sesuai dengan peraturan yang diperuntukan oleh syarak dan undang-undang dan berbeza dengan situasi perbicaraan di mahkamah kerana majlis sulh tanpa dihadiri oleh orang awam dan peguam syarie. Pihak-pihak yang bertikai boleh berunding dalam suasana yang selesa.

Pihak Yang Terlibat Dalam Majlis Sulh
Pihak yang membuat tuntutan (pemohon/plaintif)
Pihak yang kena tuntut (defendan)
Pegawai sulh

Pegawai sulh berperanan sebagai pengerusi majlis dan membantu kedua-dua pihak untuk mencapai persefakatan dan tidak mempunyai kepentingan (conflict of interest) serta bersifat kerahsiaan.

Faktor Kejayaan Majlis Sulh
  • Kedua-dua pihak bersedia untuk menyelesaikan tuntutan di luar mahkamah
  • Kedua-dua pihak bersedia untuk berunding secara ikhlas dan terbuka
  • Kedua-dua pihak sedar bahawa penyelesaian adalah untuk kepentingan di masa hadapan
  • Kedua-dua pihak sedar akan implikasi jika kes diteruskan di mahkamah
Jika majlis ini berjaya - direkodkan sebagai perintah mahkamah
Jika majlis ini gagal - akan melalui proses perbicaraan

Doa saya semoga urusan pak cik dipermudahkan....
Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari...
   Dia datangkan petir dan kilat...
        Kita menangis dan tertanya-tanya...
              Kemana hilangnya sinar...
Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi   

Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya pak cik.... 

Thursday, June 14, 2012

Antara 'Trend' Dan Adat


Cuti sekolah sudah berakhir, majlis kenduri kahwin di sana-sini juga sudah berlalu. Begitulah betapa sinonimnya cuti sekolah dan majlis kenduri kahwin. Dari pemerhatian saya, konsep perkahwinan moden kini menjadi 'trend' dalam perkahwinan masyarakat Melayu sehingga ada kalanya mengenepikan adat resam. Lebih menyedihkan lagi penggunaan konsep barat ini kadang kala membelakangi agama. 

Contoh yang jelas dapat dilihat ialah fesyen busana yang digayakan oleh pegantin pada hari ini kadang kala lari dari budaya masyarakat Melayu yang berteraskan Islam. Ada yang mengatakan bahawa pakaian tradisional seperti songket kini dianggap tidak lagi praktikal untuk majlis persandingan. Alasan yang sering kedengaran ialah :-
  • Ingin mencipta kelainan dalam majlis perkahwinan
  • Ingin mencuba sesuatu yang baru
  • Ingin mengikut trend
Oleh sebab yang demikian pelbagai budaya barat dibawa masuk ke dalam majlis perkahwinan masyrakat Melayu. Bukan sahaja dari segi trend berpakaian tetapi juga cara resepsi sesebuah majlis perkahwinan itu diadakan. Hakikatnya, adat dalam perspektif Melayu bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah.

Tidak perlu kita mengadaptasi budaya barat ke dalam apa jua aspek kehidupan kita

Friday, June 8, 2012

Jalan-Jalan Cari Ketam


Pagi semalam saya sempat menemani adik ke kedai komputer. Ayah menjadi driver kami. Dalam perjalanan pulang ayah membawa saya dan adik ke bandar Jerteh, lebih kurang 20km dari rumah. Ini semua gara-gara mencari ketam yang dipesan oleh emak. Semua gerai yang menjual makanan laut yang kami pergi di sekitar kawasan terdekat tidak menjual ketam. Kata ayah, "Jom kita ke Jerteh, jalan-jalan cari ketam."

Alhamdulliah... memang rezeki kami tempat yang dituju ada menjual ketam. 

Begitulah tanda kasih dan sayang seorang ayah dan suami, dia akan cuba memenuhi permintaan kami semua... Saya nampak emak tersenyum di saat ayah memberikan ketam yang dipesan. Makan tengah hari kami semalam berlaukkan ketam.

Kasih sayang dan cinta tidak dapat dilihat, namun dapat dirasai oleh mata hati kerana ianya tidak wujud dalam bentu fizikal... tetapi ia sering wujud dalam bentuk abstrak...^_^ 



Wednesday, June 6, 2012

Pertemuan Kembali


Persahabatan ibarat satu janji yang dibuat dalam hati, tidak dapat ditulis dan tidak dapat dibaca. Namun, tidak akan terpisah dek jarak dan tidak akan diubah dek masa. Sekali kita ikrarkan selamanya bersama. Begitulah tiada ungkapan perpisahan dalam persahabatan, walaupun maut menjadi nohtahnya. Seorang sahabat itu terlalu istimewa dalam doa saudaranya yang lain biar pun tanpa bayangnya.

Sukar untuk saya gambarkan rasa hati tak kala seorang kawan menghantar mesej menjemput saya untuk bertandang ke rumah 2 orang kawan kami yang sudah lama tidak bersua muka. Hampir 12 tahun kami tidak bersua. Laman sosial 'facebook' sebagai medium pengantar antara kami dan pertemuan diatur bermula dari laman sosial ini. Kali terakhir kami bersua muka ialah semasa peperiksaan SPM dan kemudian kami membawa haluan masing-masing. Persahabatan yang dibina sejak zaman sekolah rendah, kini bertaut kembali.

Tanggal 3 Jun 2012 kami dipertemukan kembali. Pertemuan singkat pada petang itu membawa kami mengimbau kembali memori di zaman persekolahan dahulu. Pelbagai peristiwa pahit, manis kami lalui. Tidak ketinggalan kami bercerita tentang perkembangan diri masing-masing... dua orang kawan saya itu sudah bergelar pendidik dan mempunyai keluarga bahagia. Kebetulan kedua-dua mereka mempunyai anak kecil yang comel. Terlalu cepat masa meninggalkan kami, rasa baru semalam kami bergelak ketawa dan riang gembira meraikan tamatnya peperiksaan SPM. Kini masing-masing sudah mempunyai tanggungjawab dan komitmen sendiri. 

Semoga ukhuwah yang terjalin kembali ini persis untaian tasbih...
Ada awal tiada penghujung. 
Dibuat untuk mengingatinya, dicantum kerana cintaNya, diratib semata-mata kerana redhaNya.

  • Jangan memilih dalam bersahabat, namun perlu dingat sahabat itu menjadi inspirasi perangai kita...Itu pesan emak saya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...