Tuesday, February 7, 2012

Tetamu Tidak Diundang


Pagi tadi saya sempat mendengar segmen 'Ulasan Berita' yang keudara di Nasionalfm mengenai isu pesakit mental yang kebelakangan ini kerap mengundang bahaya kepada masyarakat. Berita ini mengingatkan saya kepada peristiwa kunjungan seorang pemuda yang tidak dikenali ke rumah saya beberapa bulan yang lepas.

Pagi itu seperti biasa emak sibuk dengan urusan kebun bunganya. Tiba-tiba seorang pemuda datang ke rumah saya. Keadaanya kusut masai dan tidak terurus. Kebetulan pada waktu itu pintu pagar tidak berkunci dan dia terus masuk ke halaman rumah. Emak yang terkejut dengan kehadirannya sempat bertanya, "cari siapa?" Katanya, dia ingin menumpang toilet. Nasib baik rumah saya mempunyai sebuah toilet di luar rumah. Waktu itu saya dapat merasakan bahawa pemuda inilah yang selalu diceritakan oleh orang-orang kampung. Saya melihatnya dari dalam rumah. Tiba-tiba saya rasa tidak sedap hati dan mencari telefon bimbit dengan niat untuk menghubungi adik yang baru keluar sekejap tadi.

Beberapa minit kemudian, saya terdengar suara emak menjerit kepada pemuda tersebut supaya pergi setelah melihat pemuda itu sudah pun berada di tangga hadapan. Saya yang berada di dalam rumah berasa sangat gementar apatah lagi melihat pintu hadapan tidak berkunci. Setelah emak bising-bising, akhirnya pemuda itu berlalu pergi. Saya bersyukur sangat-sangat kerana dia tidak melakukan perkara-perkara yang tidak diingini. Sejak hari itu, pintu pagar rumah sentiasa berkunci. Menurut penduduk kampung pemuda tersebut mengalami gangguan mental setelah gagal dalam perniagaannya. Kini, saya tidak lagi melihat dan mendengar cerita tentang pemuda tersebut.

Golongan seperti ini perlukan rawatan dan bukannya melepaskannya bebas seperti pemuda ini. Akhir-akhir ini kita sering kali dikejutkan dengan kes pembunuhan kejam dan yang terlibat adalah pesakit mental. Hakikatnya, kesalahan membunuh jika disabitkan boleh dihukum gantung sampai mati di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tetapi, disebabkan ketidakwarasan fikiran (unsoundness of mind) tertuduh bebas daripada hukuman tersebut, contohnya kes yang mengorbankan empat ahli keluarga di Gemencheh Negeri Sembilan pada awal tahun 2010. Rashidi Ismail yang menghidap penyakit 'skizofrenia' dibebaskan daripada tuduhan membunuh datuk, nenek, bapa dan adik perempuannya. 'Skizofrenia' adalah antara penyakit jiwa yang serius dan golongan ini sukar membezakan antara dunia nyata dengan dunia fantasi.

Dalam sistem perundangan, tertuduh boleh mengemukakan pembelaan ketidakwarasan fikiran apabila tertuduh berjaya membuktikan semasa jenayah dilakukan, tertuduh dalam keadaan ketidakwarasan fikiran atau tidak dapat memahami perbuatan jenayah yang dilakukannya secara fizikal atau tidak dapat memahami perbuatan jenayah itu bertentangan dengan hukum moral atau bertentangan dengan undang-undang. Pembelaan ini berbentuk pembelaan mutlak yang mengecualikan liabiliti jenayah seseorang penjenayah secara mutlak. Maka dengan ini, mahkamah membebaskan Rashidi Ismail kerana tindakannya membunuh datuk, nenek, bapa dan adik perempuannya tidak konsisten dengan orang yang waras.

Oleh itu, golongan seperti ini tidak boleh dibiarkan bebas tanpa rawatan dan kaunseling kerana mereka ada kalanya sukar mengawal tingkah laku dan bertindak di luar batasan dan akan mengundang bahaya kepada orang sekeliling.

Memetik kata-kata Ramlee Awang Murshid dalam novelnya (Fiksyen 302), "Berhati-hatilah dengan watak diri kita sendiri, kemungkinan watak itu sekadar fiksyen. Jangan percaya kalau suara hati menyuruh diri kita melakukan kejahatan, lebih-lebih lagi membunuh."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...