Friday, November 11, 2011

Pusaka : Hak Wanita Dalam Pewarisan Harta

Saya terpanggil untuk menulis topik ini setelah seorang kawan bertanya kepada saya, kenapa bahagian lelaki melebihi bahagian perempuan dalam pemilikan harta melalui pembahagian harta pusaka? Adakah faraid tidak prihatin kepada golongan hawa?
Dalam kita mengutarakan persoalan sebegini, kita perlu berhati-hati mungkin ianya akan menimbulkan perasaan ragu-ragu dalam hati kita.

TaKRiF PuSaKa:

Dalam bahasa arab : faraid atau mirath
Istilah : Ilmu yang menentukan tiap-tiap hak dari pusaka. Ia merupakan satu bentuk pengiraan yang telah ditetapkan oleh syarak mengenai pembahagian harta peninggalan si mati kepada waris-waris yang layak menerimanya.
Harta pusaka ialah semua harta yang ditinggalkan oleh si mati. Semua harta tersebut adalah milikan penuh si mati dan dapat diwarisi seperti duit simpanan, KWSP, insuran, harta sepencarian dan mas kahwin yang belum dibayar oleh suami kepada isteri sehingga kematiannya.
Waris ialah orang yang berhak mewarisi harta si mati.

KEDUDUKAN WANITA

Pada zaman jahiliyah menyaksikan dunia ketika itu didominasi oleh kaum lelaki dan wanita adalah mangsa diskriminasi. Wanita dinafikan hak dalam pewarisan harta. Kedatangan Islam telah mengangkat martabat wanita dan memberi hak kepada mereka termasuklah hak untuk mewarisi harta pusaka.

HAK WANITA DALAM PEWARISAN PUSAKA

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Bagi lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan kedua orang tua dan kerabatnya dan bagi perempuan ada hak bahagian dari harta peninggalan kedua orang tua dan kerabatnya sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu menurut bahagian yang telah ditetapkan." (Surah al-Nisa' : ayat 7)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa wanita juga mempunyai hak dalam pewarisan harta pusaka. Kadarnya adalah berbeza-beza mengikut kedudukan mereka dalam keluarga sama ada sebagai ibu, anak, isteri, adik atau kakak. Syariat Islam telah membariskan senarai waris wanita yang layak menerima harta peninggalan si mati :- anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki, nenek sebelah ibu, nenek sebelah bapa, adik-beradik perempuan seibu sebapa, adik beradik perempuan sebapa, adik beradik perempuan seibu dan isteri.

PUSAKA : BAHAGIAN LELAKI MELEBIHI BAHAGIAN PEREMPUAN

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu untuk seorang anak lelaki sama dengan bahagian 2 orang anak perempuan dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari 2 maka bagi mereka 2/3 dari harta yang ditinggalkan dan jika anak perempuan itu seorang sahaja maka dia memperoleh separuh harta..." (Surah al-Nisa' : ayat 11)


Jelas bahawa anak perempuan mendapat bahagian separuh daripada apa yang diterima oleh anak lelaki.

KENAPA???

Ada hikmah dan falsafah di sebalik dasar pembahagian itu. Ianya demi mengimbangi tanggungjawab dan kewajipan lelaki dalam keluarga. Antara hikmahnya ialah :-
  • Lelaki wajib membayar mas kahwin (mahar) kepada isteri dan mereka diwajibkan menyediakan tempat tinggal, makanan dan pakaian kepada isteri dan anak-anak.
  • Lelaki lebih memerlukan kewangan yang banyak untuk menampung kehidupan seharian seperti nafkah kepada isteri dan anak-anak, menampung kos perubatan dan pendidikan.
  • Seorang perempuan dari segi perbelanjaan dan keperluan sudah terjamin kerana nafkahnya wajib ke atas suami apabila berkahwin dan sekiranya belum berkahwin wajib ke atas bapa atau kaum kerabat yang lain atau walinya.
  • Perempuan juga tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada sesiapa pun.

Dengan ini jelas bahawa wujudnya konsep keadilan undang-undang pusaka Islam dalam hubungan kekeluargaan. Walaupun dilihat kaum hawa mendapat bahagian yang sedikit berbanding kaun adam, tetapi bahagian yang diterima itu adalah miliknya yang mutlak dan tidak perlu dikongsi dengan pihak lain. Sedangkan lelaki adanya pelbagai tanggungjawab yang telah ditetapkan ke atas mereka. Maka wajarlah mereka mendapat bahagian yang lebih

Wallahuaklam...

(Sumber rujukan : nota-nota ketika belajar dahulu dan sedikit pembacaan)

No comments: