Monday, October 17, 2011

Kisah rumput dan kasih sayang


Pada suatu pagi di sebuah sekolah menengah, seorang pelajar bertanya kepada gurunya. Ketika itu guru tersebut sedang mengajar mengenai kasih dan sayang secara am.

"Cikgu, bagaimana kita hendak mencari seseorang yang terbaik sebagai orang yang paling kita sayangi?"

"Emm... sekarang kamu buat apa yang saya suruh dan kamu akan mendapat jawapannya." kata guru kepada pelajarnya itu.

"Baiklah."

"Sekarang kamu pergi ke padang sekolah dan kamu berjalan di atas rumput di situ sambil memandang rumput di hadapan kamu itu, kemudian pilih rumput yang paling cantik tanpa menoleh kebelakang walaupun sekali. Petiklah rumput yang paling cantik yang berada di hadapan kamu itu dan bawa ke kelas." guru tersebut memberi arahan kepada pelajarnya itu.

Tanpa membuang masa pelajar itu terus ke padang sekolah dan melakukan seperti apa yang disuruh oleh gurunya. Apabila kembali semula ke kelas, tiada rumput pun yang dibawa pulang.

"Mana rumput yang saya suruh kamu petik tadi?" tanya gurunya setelah melihat pelajarnya kembali dengan tangan yang kosong.

"Semasa saya berjalan di padang tadi memang ada banyak rumput yang cantik, tapi cikgu kata petik rumput yang paling cantik. Jadi saya terus berjalan sambil mencari rumput yang paling cantik tanpa menoleh kebelakang lagi. Apabila sampai di hujung padang, saya tidak jumpa pun rumput yang paling cantik. Mungkin ada di antara rumput di belakang saya tadi yang paling cantik, tapi saya sudah tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Maka, tiadalah rumput yang boleh saya petik." jelas pelajar tersebut dengan panjang lebar kepada gurunya.


"Itulah jawapannya kepada persoalan kamu tadi. Apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita mencari lagi yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di hadapan kita sebaik-baiknya. Janganla kita menoleh kebelakang lagi. Ingatlah bahawa orang yang kita sayang itulah paling cantik kita jumpa dan paling baik walaupun masih ada banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi." kata guru kepada pelajarnya itu sambil tersenyum.


The measure of love is when you love without measure. In life there are very rare chances that you will meet the person you love and loves you in return. So once you have it don't ever let go. The chance might never come your way again.

Tuesday, October 4, 2011

Sanah helwah...


Setiap kali ulang tahun kelahiran menjelang pasti kita menunggu ucapan dan hadiah dari orang sekeliling kita. Termasuklah diri ini...hehe... Yang pasti umur kita semakin meningkat. Jom kita berpaling sejenak ke belakang dan hitung kembali pencapaian kita selama ini. Kita sebagai seorang hambaNYA, sebagai seorang anak, sebagai seorang kakak, sebagai seorang pekerja dan sebagainya... Pastinya masih ada yang kurang.

'Terima Kasih Allah', sebuah artikel yang betul-betul memberi motivasi kepada saya. Alhamdullilah... terima kasih ya Allah kerana masih lagi memberi peluang kepada diri ini untuk melihat dunia yang terbentang luas dan memperbaiki kesilapan dan kelemahan yang ada. Syukur padaMu di atas kurniaan ini.

Hidup yang kita lalui ini adalah sebuah perjalanan... mencari yang hakiki, mencari keabadian. Tiada siapa yang dapat menentukan nasib kita dan tiada siapa yang mampu mengubah takdir dan suratan. Pengalaman yang bertandang memberi kematangan... suka dan duka itulah cerita dalam kehidupan. Cerita itu semestinya ada awal dan akhir. Kekuatan pada cerita ini adalah pada diri kita sendiri. Kita yang mengawal cerita bukannya cerita yang mengawal kita.

Today I am going to set slightly higher goals for today and tomorrow and if tomorrow turns out to be like today... I will certainly reach all of my goals one day!

To all my friends thank you for all birthday wishes, may you all have happiness in return and 'jazakum Allahu khayran'.
To my lovely mum and dad thanks for the gift...

Sunday, October 2, 2011

Salah siapa???


Lagu 'bangau oh bangau' saya pasti semua orang tahu akan lagu ini. Waktu sekolah rendah, saya sangat suka dengan lagu itu sehinggakan lirik lagu tersebut saya tulis dan lekatkan atas meja study. Maklumlah waktu itu belum terdedah dengan lagu-lagu seperti zaman sekarang, pelbagai rentak dan irama. Jom kita hayati lirik lagu rakyat ini.

Bangau oh bangau kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus ikan tidak timbul

Ikan oh ikan kenapa tidak timbul?
Macam mana aku nak timbul rumput panjang sangat

Rumput oh rumput kenapa panjang sangat?
Macam mana aku tak panjang kerbau tak makan aku

Kerbau oh kerbau kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan perut aku sakit

Perut oh perut kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit makan nasi mentah

Nasi oh nasi kenapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah kayu api basah

Kayu oh kayu kenapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah hujan timpa aku

Hujan oh hujan kenapa timpa kayu?
Macam mana aku tak timpa katak panggil aku

Katak oh katak kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil ular nak makan aku

Ular oh ular kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan itu memang makanan aku.

Kisah dalam lagu ini bermula dengan seekor burung bangau yang kelaparan dan kurus kerana ikan yang menjadi sumber makanannya tidak timbul-timbul. Si bangau ini menyalahkan si ikan kerana tidak mahu timbul. Si ikan pula menyalahkan rumput yang panjang menjadi punca kenapa dia tidak timbul. Semuanya saling menyalahkan antara satu sama lain. Tapi, si ular begitu 'gentlemen' kerana mengakui bahawa si katak itu adalah makanannya.

Samalah keadaannya dengan sifat kita sebagai manusia, suka menyandarkan kesilapan sendiri kepada orang lain. Adakalanya saya juga begitu... Sering menegakkan bahawa orang lainlah yang menjadi sebab kenapa terjadinya begitu dan begini. Kenapa??? Kerana sifat ego dan sombong yang bersarang dalam hati. Akibatnya, sukar menerima kebenaran dan suka dengan kepalsuan yang menguntungkan diri sendiri.

"Sesungguhnya di dalam setiap jasad anak adam itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruhnya, jika jahat daging itu maka jahatlah seluruhnya, ketahuilah daging itu adalah hati."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...