Monday, September 12, 2011

Tiada lagi cinta


'200 000 daftar cerai, pasangan kurang 6 tahun nikah paling ramai berpisah.'

'Mohon cerai kerana tiada persefahaman, 69.44 peratus wanita dan 43.33 peratus lelaki.'

'Bilangan umat Islam yang berkahwin sepanjang tahun lalu adalah 135 136 orang dan bilangan yang bercerai seramai 27 116 orang.'
(Sumber : Berita Harian 6 Sept 2011)

Angka yang cukup membimbangkan, sedangkan perkahwinan itu untuk mencipta mawaddah, rahmah dan sakinah. Sunnatullah dalam perkahwinan itu sendiri meletakkan 2 orang yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keadaan syurga dalam bahtera yang dibina.

Jodoh yang menemukan 2 pasangan yang berkahwin adalah apabila ada persamaan dan keserasian yang akhirnya dapat menyatukan 2 hati. Di sinilah terbitnya cinta... aku cinta padamu... Hakikatnya walaupun masih banyak perbezaan antara mereka, namun mereka masih boleh menjadi pasangan yang ideal jika mempunyai persamaan walaupun hanya pada satu perkara. Inilah yang dikatakan wujudnya persefahaman antara mereka. Tapi, entah kenapa lama kelamaan persefahaman dan persamaan yang wujud ini semakin pudar dan akhirnya hilang... Jalan terakhir yang dipilih adalah berpisah.

Tanpa sedar, mereka sebenarnya adalah 2 insan yang berbeza sebelum berkahwin. Kenapa persamaan yang diagung-agungkan dan dijunjung selama ini demi mewujudkan persefahaman tidak dapat lagi diuruskan supaya ianya berkekalan, malah terus dihapuskan dan memilih jalan untuk berpisah? Sudah tiada lagikah perasaan cinta yang pernah dizahirkan suatu ketika dahulu?

Seorang kawan pernah memberitahu saya, berpisah adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Sudah tiada persefahaman dan cinta lagi antara dia dan suami. Mungkin saya tidak dapat memahami perasaannya ketika itu, kerana saya tidak berada di tempatnya. Mereka berkahwin atas dasar cinta, bertahun-tahun mereka menyulam cinta. Akhirnya, bahtera yang dibina hanya bertahan selama 2 tahun. Kesannya, adalah kepada anak yang masih kecil. Begitulah... marriage is not only about love... Seorang kakak pernah memberitahu bahawa alam perkahwinan zaman sekarang cabarannya lebih hebat daripada zaman datuk nenek kita...

Memetik kata-kata Pahrol Mohd Juoi, "untuk sama-sama mencintai, tidak cukup dengan hidup bersama kerana 'marriage is loving together, not just living together' untuk mencintai terimalah dan raikanlah perbezaan. Itulah hakikat cinta - berbeza demi cinta.

Sabda Rasullulah S.A.W yang bermaksud :
"Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah Talaq (perceraian)"


Thursday, September 8, 2011

Nasi himpit kuah kacang


Nasi himpit kuah kacang, itulah juadah wajib di pagi raya bagi keluarga saya. Tak meriah raya kalau tak ada nasi himpit kuah kacang. Saya masih ingat, jika dulu cara memasak nasi himpit sangat rumit. Waktu itu, saya masih kecil. Saya pernah melihat bagaimana mak memasak nasi himpit dengan cara konvensional yang mengambil masa berjam-jam lamanya.

Mula-mula beras dimasak dengan air yang banyak, satu pot beras bersamaan dengan tiga atau 31/2 pot air. Setelah nasi masak dan masih panas-panas, angkat dan letakkan dalam loyang yang bulat. Kemudian, nasi tadi ditekan-tekan dengan batu giling sehingga padat. Sebelum nasi ditekan, perlu dilapiskan dengan plastik di atas nasi tersebut supaya tidak melekat. Sekiranya tiada batu giling, boleh gunakan baldi yang berisi air untuk menekan nasi. Sekarang dah jadi nasi himpit, potong kecil-kecil dan dimakan dengan kuah kacang. Betapa susahnya nak masak nasi himpit. Kini zaman berubah... semuanya dah jadi senang, beli je nasi himpit segera di kedai. Kita hanya perlu rebus je... dah siap.

Biasanya nasi himpit tak sah kalau tak dimakan dengan kuah kacang, tapi ayah saya suka makan nasi himpit dengan sambal ikan. Setiap kali raya saya dan adik-adik bertukus lumus untuk menyediakan sambal ikan ini. Bukan senang untuk membuat sambal ini. Bahan-bahannya... ikan perlu dibakar terlebih dahulu, kelapa goreng, bawang merah, serai, halia dan gula melaka. Semua bahan ini perlu ditumbuk secara berasingan bukan dikisar. Setelah siap gaulkan kesemuanya dan tambahkan sedikit gula dan garam sekucup rasa. Sambal ini juga sedap dimakan dengan ketupat dan lemang.

Bila diimbas kembali suasana riuh rendah suara adik-adik di dapur semasa menyediakan juadah untuk hari raya, meriah sangat dapat berkumpul ramai-ramai. Setahun hanya sekali... semoga suasana ini akan berulang kembali...:)

"Taqabbalallahu minna wa minkum... kullu am wa antum bikhair..."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...