Thursday, May 26, 2011

Baraka Allah


Ya Allah...
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencurahkan cinta hanya kepadaMu,
Bertemu untuk taat kepadaMu,

Bersatu dalam rangka menyeru di jalanMu dan
Berjanji setia
untuk membela syariatMu,
Maka kuatkanlah ikatan pertaliannya.


Ya Allah...

Abadikan kasih sayangnya,
Tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengan cahayaMu
yang tidak pernah redup,
Lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakal kepadaMu,

Hidupkanlah dengan ma'rifatMu dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalanMu,
Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong dan
Semoga shalawat serta salam selalu tercurah kepada Muhammad S.A.W, kepada keluarganya
dan kepada semua sahabatnya.
Amin...


"Di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang." (Surah Ar-Rum:21)

Allah S.W.T telah mensyariatkan perkahwinan untuk memenuhi fitrah semulajadi manusia dengan cara halal dan diredhai. Rasulullah S.A.W amat menggalakkan umatnya berkahwin.

Daripada Anas r.a, Nabi S.A.W bersabda: "Perkahwinan itu merupakan sunnahku, sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan daripada golonganku."

Daripada Abdullah katanya: Sabda Rasulullah S.A.W kepada kami: "Wahai pemuda! Sesiapa yang berkemampuan dalam kalangan kamu menyediakan belanja kahwin, maka hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu dapat menutup pandangan (daripada melihat maksiat) dan memelihara kemaluan (daripada melakukan zina). Sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu dapat mengurangkan hawa nafsu."


Cinta... Hikayat tak bernohtah zaman-berzaman, bicaranya asyik perasaannya pelik, biar pun payah, pengalamannya indah, tersirat hakikat tak terlihat, tak terungkai pada bicara, namun, diketahui dengan rasa, dengan cinta manusia mulia, mampu ikhlas dalam berbakti, tidak mengharap dalam memberi, cinta pemula sebuah ikatan... menjadi penyubur sebuah harapan, mendamba kasih setia melayari bahtera, setiap dugaan ditempuhi, setiap langkah disungguhi, suatu naluri penuh rahsia... sepatah kata penuh makna, moga cinta kekal abadi... kini hingga ke akhir nanti...

SELAMAT PENGANTIN BARU

Buat semua rakan-rakan yang bakal bergelar raja sehari sempena cuti sekolah nanti

Baraka Allahu Lakuma



Thursday, May 19, 2011

Semangat Rerumput


Di bumi yang terdampar luas, aku kelihatan begitu kerdil
Merentas padang yang luas
Mendiami belukar berduri

Tubuhku tak setegap pohon jati yang berakar tunjang
Tak sekukuh dan semegah gunung nan tinggi
Tak seperti mekar melati yang harum mewangi
Jauh sekali menongkat langit yang tidak mencecah bumi

Rejaman angin ribut tak mampu ku tepis
Terjahan hujan taufan yang mencurah tak dapat kutangkis
Cengkaman terik mentari terus saja membengis
Asakan manusia tak berperi terusan menghiris

Namun...
Kau masih di sini meski pun payah
Perjuangan hidupmu tak pernah goyah
Meski berteman penat lelah
Yang cuba buat kau tak betah

Aku percaya, sesungguhnya...
Angin ribut yang membuas
Hujan taufan yang mengganas
Terikan mentari yang mencengkam
Tak akan merobek semangatmu
Tak terdaya menghambat pertumbuhanmu
Tak bisa menghalangmu membiak melata ke serata penjuru

Aku yakin sebenarnya...
Buas angin taufan sekadar menyapu debuan di bahumu
Ganas hujan ribut umpama menabur baja khasiat bagimu
Terik cengkam mentari hanyalah bagaikan sajian hidangan kehidupanmu

Dan kini...
Semangat rerumput menjadi pegangan hidupku
Biar di mana melatamu
Terus mencengkam bumi
Menutup gersangnya debuan tanah
Berbakti melestari cuaca kehidupan

Semangat rerumput
Pegangan hidup kita seharusnya
Biar tinggi mana kita mendaki
Atau jauh mana kembara tak bertepi
Akar kita pastikan tetap teguh
Walau dicatas belati tak berperi
Semangat rerumput
Menjadikan kita lebih berani

Semangat rerumput
Semangatmu yang tak pernah pudar
Kerana semangatmu itu
Bumi terusan tersenyum kehijauan

Seperti kita
Biar terusan berbakti
Mengukir budi tanpa pertikai siapa diri kita ini.


Monday, May 16, 2011

Hak Yang Dituntut (Akhir)

Humairah membetulkan kaca mata yang terletak di atas hidungnya sambil mengirup kopi sejuk yang dibancuh beberapa jam sebelum dia memulakan tugasannya. Tiba-tiba kata-kata anak guamnya tergiang-giang di telinga.

"Cik Humairah rasa... adakah tindakan saya memeluk Islam bermakna saya ingin lari daripada tanggungjawab terhadap keluarga atau ingin memutuskan hubungan kekeluargaan?"

Itulah antara soalan yang pernah ditanya oleh Adam. Sebaris ketidakpuasan jelas terimbas dari riak wajahnya ketika itu. Sering kali isu berkaitan pemelukan Islam khususnya suami timbul, ada pihak-pihak tertentu yang membuat andaian bahawa si suami berkenaan ingin lari daripada tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga. Hakikatnya, tuduhan ini adalah keterlaluan dan tidak benar sama sekali kerana hidayah Allah diberikan kepada hambaNya yang terpilih. Dalam diam Humairah melebarkan doa agar anak guamnya itu istiqamah dengan pegangannya sekarang.

Kini, entah mengapa Humairah berasa lega dan yakin bahawa dirinya berada di landasan yang benar. Dia yakin Adam akan mendapat haknya ke atas Thye Chee setelah meneliti segala maklumat. Bukan kemenangan yang didambarkan, tetapi ingin mengembalikan hak kepada yang betul-betul berhak. Humairah bingkas bangun dari kerusi dan membuat sedikit senaman ringkas. Jam sudah menunjukkan pukul 11.00 malam. Humairah melihat ke sekeliling pejabatnya sebelum mematikan lampu. Dia melangkah pulang dengan hati yang tenang.

Demikianlah perjalanan masa Humairah lebih tercurah bersoal jawab di mahkamah. Adakalanya Humairah rimas ditujah hentam dengan soalan-soalan yang membingunkan. Namun, dia mesti cekal demi mengembalikan sebuah hak. Hari ini adalah hari terakhir perbicaraan kes Adam dan mahkamah akan membuat keputusan.

"Bangun!" tiba-tiba mahkamah bergema.

Seorang lelaki berjubah hitam melangkah masuk. Kamar mahkamah sepi. Setelah meneliti dan mendengar semua hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah telah memutuskan hak penjagaan Thye Chee diserahkan kepada Adam setelah mengambil kira keperluan serta kebajikan Thye Chee. Humairah tidak dapat gambarkan kegembiraan yang wujud di hatinya. Akhirnya dia dapat mengembalikan hak anak guamnya. Semoga Adam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap amanah yang diberikan.

"Tuk! Tuk!" terdengar ketukan dari luar sekaligus mematikan lamunan Humairah. Setelah dibuka Aishah melangkah masuk. Aishah adalah rakan kongsinya. Mereka sama-sama membuka firma guaman ini atas nama Aishah Humairah & Co.

"Humairah... jom makan. Menang kes pun masih muncung." Humairah tersenyum pahit.

"Aku risaula kalau-kalau bekas isteri Encik Adam berjaya dapatkan pengisytiharan bahawa keputusan ini tidak sah." terang Humairah gagal menyembunyikan kerisauannya yang jelas kelihatan di riak wajahnya.

"Apa nak risau, kitakan ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 121(1A)." ujar Aishah sambil tersenyum. Humairah membalas senyuman sahabatnya itu. Macam mana dia boleh lupa. Hatinya benar-benar berasa lega dan tenang.

Telah termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 121 (1A), 'The civil court has no jurisdiction and the matters falls under the jurisdiction at the Syariah Court.'

Adam Allen tersenyum tanda berpuas hati dengan keputusan mahkamah. Dia melihat sendiri dengan kaca mata hatinya bagaimana prosiding mahkamah dijalankan. Telus dan adil. Dia tidak akan mempersia-siakan amanah yang diberikan kepadanya. Hatinya kini tenang seolah-olah tiada apa-apa yang difikirkannya.


T . A . M . A . T

Wednesday, May 11, 2011

Hak Yang Dituntut (3)

Humairah merenung sekilas ke arah jam yang tergantung di pejabatnya. Jam sudah menunjukkan pukul 9.00 malam. Di atas meja, berselerakkan fail-fail dan laporan kes-kes terdahulu. Humairah meneliti segala maklumat yang tercatat. Menurut Adam, Sandra mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Thye Chee sering ditinggalkan keseorangan di rumah, Sandra lebih suka menghabiskan masa di luar bersama dengan kawan-kawan, walaupun hujung minggu. Keadaan yang sama berlaku semasa mereka masih bergelar suami isteri.

Thye Chee pernah mengadu hal ini kepada Adam. Ketika itu Adam membawa Thye Chee bersiar-siar, setelah beberapa minggu dia tidak dibenarkan berjumpa dengan anaknya itu.

"Papa, kenapa mummy marah apabila Thye Chee nak jumpa papa? Thye Chee nak tinggal dengan papa. Mummy selalu keluar, malam baru mummy balik." sebuah keluhan berat Adam lepaskan. Setiap kali berjumpa, Thye Chee akan mengadu hal yang sama. Pada mulanya dia tidak tidak menghiraukan sangat aduan anaknya itu. Baginya, terlalu awal untuk Thye Chee memahami apa yang berlaku antara dia dan Sandra.

Humairah menyemak semua maklumat yang dikumpulkan. Dalam Yip Fook Tai melawan Manjit Singh s/o Mohar Singh @ Mohammad Iskandar Manjit Bin Abdullah, hak penjagaan anak diputuskan oleh mahkamah sama ada hak tersebut diberikan kepada pihak yang memeluk Islam atau pihak yang tidak memeluk Islam, setelah mengambil kira keperluan dan kebajikan anak tersebut.

Semakan seterusnya menampilkan akan kewujudan prinsip yang sama dalam kes Nur Aishah Suk Bte Abdullah @ Sukwinder Kaur a/p Sajhan Singh melawan Harjeet Singh, mahkamah telah memutuskan hak penjagaan anak diberikan kepada pihak yang memeluk agama Islam iaitu si isteri setelah mengambil kira keperluan serta kebajikan anak tersebut.

Humairah tersenyum sendirian. Dia masih ingat ada cadangan supaya menggunakan logik akal iaitu anak itu bukan Islam dan harus diteruskan sebagai bukan Islam dan tidak perlu mengubah status quo anak tersebut. Namun, undang-undang tidak boleh mengubah logik akal kerana perlu ada asas dan prinsip yang perlu ditafsirkan. Undang-undang mempunyai prinsip tersendiri bagi mengawal kemaslahatan sejagat. Dalam memutuskan hak jagaan anak, kebajikan si anak mengatasi hak ibu atau bapa, ini sudah menjadi amalan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Kebajikan anak di sini termasuklah permasalahan akidah, tumbesaran dan pembelajaran.

BERSAMBUNG...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...