Sunday, February 13, 2011

'Awas! Jerat Valentine's Day'


Jika kita perhatikan beberapa hari ini kebanyakkan pusat membeli belah memperagakan barangan yang berkaitan Hari Valentine atau Hari Kekasih atau disebut juga sebagai Hari Kasih Sayang. Hari ini juga boleh kita katakan sebagai hari memewahkan peniaga mawar. Kononnya, sekuntum mawar bermakna hanya kau yang satu, dua bermakna kasih sayang antara kita berdua berpadu dan tiga bermakna aku cinta padamu. Ini bermakna berjayanya mereka (orang kafir) membahagiakan pemikiran kita (orang Islam) bahawa cinta itu perlu disimbolikkan dengan mawar.

Tanpa kita sedari sebenarnya, budaya yang datang bersama barangan Hari Valentine adalah perangkap kepada golongan remaja untuk meraikannya. Bahkan ianya dicipta dengan tujuan kebendaan dan keuntungan kepada pihak-pihak tertentu. Perayaan ini juga telah membentuk pemikiran golongan remaja bahawa tiada kasih sayang tanpa meraikan hari tersebut. Sedangkan Islam mengutamakan ikatan kasih sayang antara insan dan tidak ada hari tertentu untuk meraikannya.

Selain itu, Hari Valentine juga tidak boleh disamakan dengan hari sambutan lain seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, atau Hari Kanak-Kanak Sedunia kerana ianya tidak dikaitkan dengan peristiwa tertentu atau pengaruh agama. Menurut sejarah, Hari Valentine adalah budaya Kristian untuk memperingati kematian tragis Paderi St Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius. Jadi, tidak perlu untuk kita memuliakan manusia lebih daripada biasa!!!

Di samping itu, perayaan Hari Valentine jelas menjurus kepada perkara yang tidak baik apabila ada pihak yang melakukan perbuatan yang menyalahi syarak demi membuktikan kasih sayang kononnya. Keadaan ini secara tidak langsung menambahkan lagi masalah sosial di kalangan remaja yang kian meruncing sejak kebelakangan ini. Oleh yang demikian, kita perlu menolak perayaan ini kerana ianya menggalakkan perbuatan maksiat dan bercanggah dengan ajaran Islam. Kita seharusnya patuh dan menghormati fatwa pengharaman amalan Hari Valentine tanpa mempersoalkannya.

Janganlah kita mengikuti jejak langkah kaum Yahudi dan Nasrani. Sebuah hadis yang bermaksud: "Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu akan mengikuti mereka." Sahabat bertanya: "Adakah mereka itu kaum yahudi dan Nasrani?" Baginda menjawab: "Siapa lagi kalau bukan mereka."
(Riwayat al-Bukhari)

Jelas menunjukkan Rasulullah S.A.W melarang kita umat Islam meniru budaya Yahudi dan Nasrani. Ingatlah niat tidak menghalalkan cara.

  • Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan ianya bercanggah dengan ajaran Islam kerana amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat.
  • Sidang Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-71 juga bersepakat memutuskan amalan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...