Monday, February 28, 2011

Jangan Bersedih, Akan Ada Peluang Lain


Dalam bidang perubatan jantung, nama Dr Robert Jarvick sangat terkenal. Beliau adalah orang yang mencipta jantung tiruan Jarvick yang diambil sempena dengan namanya. Ciptaannya kini telah memberi sinar baru kepada pesakit-pesakit jantung untuk terus hidup. Beliau juga diiktiraf sebagai seorang genius.

Kisah kejayaan Dr Jarvick juga penuh dengan cerita kegagalan. Beliau pernah mengambil ujian 'Stanford-Binet'. Daripada ujian itu, IQ Dr Jarvick didapati terlalu rendah. Beliau gagal dalam semua ujian untuk masuk ke fakulti perubatan di Amerika. Setelah gagal mendapat tempat di Amerika beliau memohon masuk ke fakulti perubatan di Itali. Di situlah beliau berjaya dan akhirnya lulus sebagai seorang doktor perubatan.

Kepada adikku, janganlah terlalu bersedih kerana cita-citamu untuk menjadi seorang polis tidak kesampaian, akan ada peluang yang lebih baik untukmu. DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Terkadang apa yang kita inginkan itu sebenarnya bukanlah yang terbaik untuk kita. Apabila satu pintu kebahagian tertutup, yang lain akan terbuka...namun, apa yang terjadi kita akan memandang pintu yang telah tertutup itu terlalu lama sehinggakan kita tidak nampak pintu lain yang telah pun terbuka untuk kita. Oleh itu, pandanglah ke depan dan teruskan berusaha....

Tuesday, February 22, 2011

Betapa DIA menyayangi

Suatu ketika Dzunnun al-Misri sedang musafir, dia melihat kala jengking merayap ke pinggir Sungai Nil dengan cepat. Lalu, Dzunnun al-Misri mengikutnya kerana ingin tahu apa yang akan dilakukannya. Dia ingin mempelajari sesuatu daripada apa yang dilihatnya, bukan daripada apa yang didengarnya.

Ketika kala jengking itu mendekati tepi Sungai Nil, tiba-tiba dari dalam sungai muncul seekor katak. Kala jengking tersebut terus menaiki belakang katak itu. Lalu, Dzunnun al-Misri mengambil perahu dan mengejarnya. Apabila sampai di seberang sana, kala jengking itu masih juga merayap.

Di suatu tempat di tepi sungai Nil, kelihatan seorang pemuda sedang tidur. Tiba-tiba dari arah yang berlawanan datang seekor ular menuju ke arah pemuda itu. Kala jengking itu menyerangnya. Berkelahilah antara dua binatang itu dan berakhir dengan kekalahan ular. Ular itu mati dan kala jengking kembali semula ke tepi Sungai Nil. Kemudian, muncul lagi katak untuk membawanya ke tempat asalnya.

Kisah ini dipetik daripada sebuah buku tentang 'hakikat cinta'. Apa yang dapat saya simpulkan daripada kisah ini betapa seiring Allah melindungi kita tanpa kita mengetahuinya. Betapa sayangnya DIA kepada kita sehingga ketika kita tidur dan tidak berdaya menghadapi bahaya, Allah masih melindungi kita tanpa kita menyedarinya. Allah juga berbuat baik kepada semua hambanya tanpa batasan.

Bagaimana dengan kita??? Sudah menjadi lumrah, kita hanya akan menyintai seseorang yang hanya berbuat baik kepada kita dan selalu menolong kita. Kita ada kalanya juga,hanya akan berbuat baik kepada orang yang kita cintai sahaja dan jarang atau tidak pernah berbuat baik kepada orang yang kita benci.

Sebuah syair Arab yang berbunyi, "Jadilah kamu seperti pokok di pinggir jalan, meski pun dilempar dengan batu, ia tetap menghadiahkan buah yang masak."

Sunday, February 13, 2011

'Awas! Jerat Valentine's Day'


Jika kita perhatikan beberapa hari ini kebanyakkan pusat membeli belah memperagakan barangan yang berkaitan Hari Valentine atau Hari Kekasih atau disebut juga sebagai Hari Kasih Sayang. Hari ini juga boleh kita katakan sebagai hari memewahkan peniaga mawar. Kononnya, sekuntum mawar bermakna hanya kau yang satu, dua bermakna kasih sayang antara kita berdua berpadu dan tiga bermakna aku cinta padamu. Ini bermakna berjayanya mereka (orang kafir) membahagiakan pemikiran kita (orang Islam) bahawa cinta itu perlu disimbolikkan dengan mawar.

Tanpa kita sedari sebenarnya, budaya yang datang bersama barangan Hari Valentine adalah perangkap kepada golongan remaja untuk meraikannya. Bahkan ianya dicipta dengan tujuan kebendaan dan keuntungan kepada pihak-pihak tertentu. Perayaan ini juga telah membentuk pemikiran golongan remaja bahawa tiada kasih sayang tanpa meraikan hari tersebut. Sedangkan Islam mengutamakan ikatan kasih sayang antara insan dan tidak ada hari tertentu untuk meraikannya.

Selain itu, Hari Valentine juga tidak boleh disamakan dengan hari sambutan lain seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, atau Hari Kanak-Kanak Sedunia kerana ianya tidak dikaitkan dengan peristiwa tertentu atau pengaruh agama. Menurut sejarah, Hari Valentine adalah budaya Kristian untuk memperingati kematian tragis Paderi St Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius. Jadi, tidak perlu untuk kita memuliakan manusia lebih daripada biasa!!!

Di samping itu, perayaan Hari Valentine jelas menjurus kepada perkara yang tidak baik apabila ada pihak yang melakukan perbuatan yang menyalahi syarak demi membuktikan kasih sayang kononnya. Keadaan ini secara tidak langsung menambahkan lagi masalah sosial di kalangan remaja yang kian meruncing sejak kebelakangan ini. Oleh yang demikian, kita perlu menolak perayaan ini kerana ianya menggalakkan perbuatan maksiat dan bercanggah dengan ajaran Islam. Kita seharusnya patuh dan menghormati fatwa pengharaman amalan Hari Valentine tanpa mempersoalkannya.

Janganlah kita mengikuti jejak langkah kaum Yahudi dan Nasrani. Sebuah hadis yang bermaksud: "Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu akan mengikuti mereka." Sahabat bertanya: "Adakah mereka itu kaum yahudi dan Nasrani?" Baginda menjawab: "Siapa lagi kalau bukan mereka."
(Riwayat al-Bukhari)

Jelas menunjukkan Rasulullah S.A.W melarang kita umat Islam meniru budaya Yahudi dan Nasrani. Ingatlah niat tidak menghalalkan cara.

  • Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan ianya bercanggah dengan ajaran Islam kerana amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat.
  • Sidang Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-71 juga bersepakat memutuskan amalan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.

Tuesday, February 8, 2011

Implikasi Di Sebalik Konflik Di Mesir

Kita sering kali digemparkan dengan berita rusuhan anti kerajaan di beberapa buah negara sebelum ini. Namun, peristiwa rusuhan anti Kerajaan Mesir pimpinan Hosni Mubarak agak luar biasa. Hal ini kerana ianya melibatkan nasib seorang presiden dan masa depan sebuah negara. Beberapa minggu yang lepas, konflik di Mesir telah menjadi berita prominen bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Mungkin ada di antara kita beranggapan peristiwa ini tidak ada kaitan dengan kita yang berada jauh dari bumi Mesir dan sama sekali tidak terlibat dengan tunjuk perasaan ini. Namun begitu, di sebalik konflik di Mesir ini telah membawa kepada beberapa implikasi kepada kita sama ada kita menyedarinya atau tidak.

Kebangkitan golongan anti kerajaan di Mesir banyak dibantu oleh rangkaian sosial seperti Twitter dan Facebook. Mereka telah memanfaatkan laman web sosial ini untuk menyusun strategi bagi mendesak Hosni Mubarak meletak jawatan. Mereka ingin membebaskan Mesir daripada ketidakadilan sosial dan pemerintahan yang dianggap korup. Keadaan bertambah meruncing apabila Mubarak membuat pendirian sekiranya beliau meletakkan jawatan keadaan di Mesir berdepan dengan kacau bilau. Kesannya, tunjuk perasaan secara aman bertukar kepada keganasan sehingga ada yang terkorban dan banyak kemusnahan harta benda telah berlaku.

Keadaan ini berlaku apabila pihak yang menyokong Mubarak mula bertindak dan berlaku pertempuran dengan pihak yang menentang. Sekiranya keganasan ini berterusan, ia akan membawa kepada perang saudara. Akhirnya, membawa kepada kehancuran Mesir. Selain itu, tindakan rakyat Mesir yang merusuh demi menuntut perubahan pimpinan atau pertukaran rejim pemerintahan di Mesir, secara tidak langsung telah memberi rangsangan kepada negara-negara jirannya seperti Yemen, Jordan dan Sudan. Keadaan lebih meruncing apabila tunjuk perasaan ini telah menular ke Kedutaan Mesir di London dan Amerika Syarikat. Hal ini menunjukkan keadaan kucar kacir bukan sahaja di Mesir bahkan tempiasnya juga kepada negara-negara lain.

Konflik di Mesir juga telah membawa kepada peningkatan harga minyak dunia dan kesukaran proses penghantaran bahan ini sekiranya Terusan Suez ditutup. Hal ini kerana, laluan alternatif yang lain akan mengambil masa yang panjang dengan jarak perjalanan yang jauh iaitu melalui hujung benua Afrika. Ekoran daripada keadaan ini, harga minyak melambung tinggi dan harganya terpaksa dinaikkan.

Dari segi kewartawanan pula, peristiwa ini mempunyai nilai berita yang tinggi. Oleh yang demikian, semua organisasi media termasuklah negara kita tidak ketinggalan untuk membuat liputan mengenai peristiwa ini kerana nilai beritanya mendapat perhatian ramai pembaca. Walaupun, terpaksa menempuh pelbagai halangan untuk masuk ke Mesir. Tambahan pula, apabila kerajaan mengumunkan 'Operasi Piramid' menyelamatkan pelajar Malaysia yang menuntut di sana.

Kini, misi ini sedang dilaksanakan oleh kerajaan kita bagi memastikan seramai 11 000 orang pelajar-pelajar kita yang sedang menuntut di beberapa buah universiti di Mesir pulang ke tanah air dengan selamat. Hal ini kerana, tiada jaminan keselamatan untuk mereka terus tinggal di sana ekoran daripada keadaan yang hura-hara dan tegang. Malah, mereka juga mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan. Inilah tempiasnya kepada kita di Malaysia kerana peristiwa ini juga melibatkan rakyat kita yang berada di sana.

Semoga apa yang berlaku di Mesir dan juga di negara-negara lain di dunia ini boleh kita jadikan teladan dan sempadan. Apa yang baik kita jadikan teladan dan apa yang buruk kita jadikan sempadan.

***Semasa isu ini ditulis keadaan Mesir sudah semakin pulih...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...