Wednesday, December 22, 2010

PELUANG KEDUA


Kini dia tenang di sini. Ketenangan yang tidak pernah dirasainya. Dia kini, bukan dia yang dahulu... Kepalanya sudah ditutup. Jika dulu... setiap helaian rambutnya disimbah dengan berbagai warna. Dia juga sudah berbaju kurung, auratnya cukup dijaga daripada menjadi tontonan. Jika dulu... bajunya tidak cukup kain dan benang.
Itulah dia yang sudah berubah... Ada nur hidayah di hatinya.

Di saat dia dalam kesesatan ada insan yang datang memberi sinar cahaya dan membawanya ke jalan yang benar.

"Kamu boleh berubah ke arah yang lebih baik. Orang lain tidak boleh mengubah diri kamu, hanya kamu yang boleh mengubah diri kamu sendiri."

"Mampukah saya untuk berubah menjadi lebih baik dan hidup berlandaskan ajaran yang betul, sedangkan saya terlalu jahil. Islam hanya pada keturunan sahaja."

"Kamu mampu untuk berubah, sekiranya kamu mahu dan yakin kamu boleh berubah. Kejahilan kamu kerana kamu tidak mempunyai ilmu. Ilmu yang akan membawa kamu kepada kebenaran. Ilmu perlu dicari kerana ia adalah bekalan di dunia dan akhirat. Ini adalah peluang kedua untuk kamu. Selagi kamu masih bernafas kamu masih berpeluang untuk mengubah diri kamu."

Ya... Ini peluang kedua yang telah diberikan kepadanya. Dia masih bernafas. Nahas jalan raya yang telah meragut nyawa kedua-dua orang tuanya masih segar di ingatan. Akibat nahas itu, dia koma beberapa bulan lamanya. Allah Maha Berkuasa, akhirnya dia diberi peluang kedua untuk melihat alam fana ini.

"Mana pesakit yang tinggal di sini?"

"Maaf cik, pesakit itu sudah meninggal semalam."

Itulah orang yang banyak menyedarkan dia bahawa Allah masih sayangkannya dan membawa dia ke landasan yang sebenar. Sesungguhnya Allah lebih menyayanginya.

Kini dia tenang di sini bersama dengan anak-anak kecil yang tidak mempunyai ibu dan bapa.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...