Wednesday, December 8, 2010

INGIN BERUBAH

Hari ini adalah hari kedua kita berada di tahun baru hijrah. Sambutan 'Maal Hijrah' yang dibuat saban tahun tidak akan bermakna sekiranya 'ibrah (hikmah) di sebaliknya tidak dihayati.

Rasullulah S.A.W bersabda maksudnya: "Tiada hijrah selepas pembukaan Makkah, tetapi masih ada jihad dan niat dan apabila kamu diminta berhijrah maka berhijrahlah."

Hijrah bukan sahaja bermaksud perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi dalam konteks yang lebih luas hijrah bermaksud perubahan. Perubahan ke arah kebaikan atau ke arah keburukan. Semua makhluk pasti akan berubah kerana ini adalah sunnatullah (hukum alam).

Melakukan perubahan memerlukan masa, ibaratnya pertumbuhan sebatang pokok. Bermula dengan semaian biji benih, percambahan akar, tunas, batang, ranting, daun, bunga dan akhirnya berbuah. Sudah menjadi fitrah manusia, tidak boleh dibentuk dalam masa yang singkat. Proses ini juga tidak boleh dilakukan secara drastik dan tidak boleh secara paksaan. Hanya diri sendiri yang boleh melakukan perubahan.

Sebelum melakukan perubahan, minda perlu dilatih dan diasuh untuk berubah. Jangan biarkan minda terkonkong dengan suatu kebiasaan atau kepercayaan. Ini akan merantai potensi diri untuk terus berusaha. Kita seharusnya mempersiapkan minda untuk berani menghadapi perubahan. Dengan ini lahirlah minda yang positif untuk perubahan yang positif. Inilah minda yang bersedia untuk berubah dan melakukan perubahan.

"Orang yang berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam. Orang yang terpedaya orang yang hari ini sama seperti semalam dan orang yang celaka ialah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...