Thursday, October 7, 2010

SENANG MENERIMA SUKAR MELAKSANA

Apabila kita diberi kerja kita senang untuk menerimanya, tetapi sukar untuk kita melaksanakan kerja tersebut dengan penuh tanggungjawab. Mungkin juga kerja tersebut dapat dilaksanakan namun, dengan pelbagai penyelewengan. Pelaksanaannya hanya untuk memenuhi tuntutan atau ada kepentingan tertentu. Begitu juga dengan perkahwinan. Kita senang menerima sebuah perkahwinan namun, tanggugjawab sebagai suami atau isteri adakalanya sukar dilaksanakan dengan sempurna. Itulah yang dikatakan senang menerima sukar melaksana.

Firman Allah yang bermaksud: "Sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."
(Surah as-saff: ayat 3)

Keadaan ini kita boleh kaitkan dengan sifat amanah. Seseorang yang amanah pasti akan melaksanakan apa sahaja tugas yang diterima olehnya, sama ada sukar atau senang.

Rasullulah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang yang diajak bermusyawarah (diminta pendapat) adalah orang yang boleh memegang amanah (jujur, ikhlas dan dapat menyimpan rahsia)."
(Hadis riwayat At-Thabrani)

Kini banyak perkara yang mengecewakan dilakukan oleh kita untuk lari daripada amanah yang harus dipikul. Kita lebih mementingkan kesenangan dunia daripada kesenangan akhirat. Kita juga dikaburi dengan pelbagai kenikmatan dan keindahan dunia daripada kenikmatan dan keindahan akhirat. Inilah yang menyebabkan kita senang menerima dan sukar melaksana.

Jesteru itu, sifat amanah perlu kita terapkan dalam diri supaya mendapat kepercayaan untuk melaksanakan sesuatu yang diamanahkan. Oleh itu, apabila kita senang menerima sesuatu amanah, seharusnya juga kita senang melaksanakannya tanpa sebarang alasan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...