Tuesday, November 3, 2009

HAK ASASI


“Apa-apa penyelewengan sistem walaupun hanya setitik boleh meracuni keseluruhannya. Dulu kita pernah dikejutkan dengan insiden yang mengancam sistem kehakiman dan melunturkan kepercayaan awan kepada sistem kehakiman.”
(Raja Dr Nazrin Shah,Raja Muda Perak)

Lima perkara asas yang perlu difahami dalam isu hak asasi demi mencapai kestabilan politik, ekonomi dan sosial.
Hak ialah kuasa atau tuntutan yang boleh dibuat dengan menjadikannya asas.

Pertama: Kerajaan perlu memahami dan mendalami prinsip-prinsip hak asasi manusia itu sendiri. Kerajaan persekutuan dan negeri bertanggungjawab untuk tidak melanggar had yang ditetapkan oleh Perlembagaan dalam membuat undang-undang. Kegagalan mematuhi had ini menjadikan undang-undang tersebut ultra vires dan tidak sah.

Kedua: Perkara-perkara yang membabitkan tuntutan hak asasi manusia yang semakin berkembang dan perlu diberi perhatian. Seperti yang kita sedia maklum sejak kebelakangan ini terlalu banyak hak yang dituntut. Oleh yang demikian Suhakam perlu memainkan peranan proaktif untuk sering berhubung dengan agensi-agensi kerajaan bagi merumus atau meneliti mana-mana undang-undang dan prosedur yang perlu dipinda. Contohnya, tentang isu ISA yang pernah dibangkitkan suatu ketika dahulu.

Ketiga: Bagaimana undang-undang itu diterjemahkan? Mahkamah mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan, mentafsir undang-undang dan mengistiharkan mana-mana undang-undang sebagai tidak sah. Ini penting bagi mahkamah dalam mentafsirkan perlembagaan untuk mengungkap maksud sebenar di sebalik perundangan yang ditetapkan sebelum membuat sesuatu keputusan. “Sebuah perlembagaan menjadi sebahagian elemen perundangan yang hidup, ketentuannya perlu ditafsirkan secara meluas dan bukan secara terburu-buru...," (Sultan Azlan Shah)

Keempat: Penghakiman harus berpandangan jauh melampaui sempadan dan melaksanakan lebih banyak idea dan piawaian baru berkaitan hak asasi manusia antarabangsa sebelum sebarang keputusan undang-undang dibuat. Dengan kata lain, mencari jalan penyelesaian masalah tempatan supaya selaras dengan piawaian antarabangsa.

Kelima: Integriti, kebebasan dan sikap tidak berat sebelah mahkamah yang disifatkannya hak mutlak yang perlu dilaksanakan. Untuk memastikan mahkamah bertindak tanpa takut dan berat sebelah (without fear or favour), perlembagaan memberikan perlindungan kepada hakim “Kekuatan untuk menegakkan hak haruslah melalui sistem kehakiman."
(Raja Dr Nazrin Shah,Raja Muda Perak)

Sebagai kesimpulannya, prinsip hak asasi manusia tidak boleh menjadi kenyataan sehinggalah semua rakyat Malaysia menghormati dan menegakkannya.

(Ringkasan daripada 5 perkara fahami isu hak asasi, Berita harian, 25 Oct 2009)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...