Wednesday, October 14, 2009

BUAT MAK DAN AYAH

Walau sehebat manapun ilmu kita, walau setinggi manapun kelulusan kita,
walau siapa pun kita, apa guna sekiranya tanpa restu ibubapa kita,
jangan sesekali melupakan jasa mereka...kerana
tanpa mereka tidak mungkin kita berjaya seperti hari ini.

Diri ini amat bertuah kerana masih lagi dapat merasai kasih sayang ibu dan ayah. Ramai di luar sana yang tidak berpeluang untuk menikmati nikmat kasih sayang daripada insan yang bergelar ibu dan ayah. Tanpa mereka tiadalah kita di dunia. Dalam sebuah hadis Abu Hurairah berkata: seorang lelaki datang menemui Rasulullah dan bertanya.."siapakakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?" Baginda menjawab:"Ibu kamu." Dan bertanya lagi: "Kemudian siapa?" Baginda menjawab lagi: "Ibu kamu." Dia bertanya lagi: "kemudian siapa?" Dan barulah Baginda menjawab: "Bapa kamu." Di sini jelas menunjukkan bahawa taraf ibu untuk ditaati lebih daripada bapa. Namun tidak bermakna kita boleh menafikan hak seorang bapa untuk ditaati. Tiada ayah tiadalah kita di dunia... Sayangilah dan bahagiakanlah mereka selagi mereka masih ada di sisi kita. Gunakanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya, janganlah kita menyesal di kemudian hari.

Islam mewajibkan kita supaya berbuat baik kepada ke dua ibubapa dan tidak sekali-kali menyakiti mereka. Saya pernah terbaca satu catatan yang ditulis oleh seseorang yang bernama lelaki mengatakan bahawa wanita yang paling disayanginya yang pertama ialah ibunya dan yang kedua ialah isterinya. Alangkah baiknya lelaki ini. Adakah kita semua seperti lelaki ini selepas berkahwin masih lagi meletakkan ibu kita di tempat yang paling atas....

Memetik kisah Alqamah yang berlaku di zaman Rasullah SAW sebagai iktibar kepada kita semua untuk menghargai jasa dan pengobanan seorang ibu. Alqamah seorang pemuda yang baik, rajin menunaikan solat, banyak berpuasa dan bersedekah. Namun, dia lebih mengutamakan isteri berbanding dengan ibunya sehingga ibunya terguris hati. Di saat Alqamah hendak menghempuskan nafas, dia tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah sehingga Rasullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah kerana ibunya tidak mahu memaafkan Alqamah. Tindakan Rasullah SAW itu telah menyebabkan ibunya terus memaafkan Alqamah dan dengan mudahnya Alqamah mengucap dua kalimah syahadah.

Tekanan hidup pada hari ini, menjadikan hubungan kekeluargaan kian jauh dan institusi keluarga makin rapuh. Namun, walauapapun cabaran itu bukanlah alasan untuk kita menidakkan hak dan tanggungjawab kita sebagai anak kepada kedua ibubapa. Mereka tidak memerlukan wang ringgit cukuplah sekadar perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak.
Buat mak dan ayah....
Anakmu kini telah dewasa dan berjaya dalam kehidupan berkat bimbingan dan dorongan yang berterusan dari mak dan ayah. Tiada balasan yang dapat anakmu ini berikan untuk membalas segala kebaikan dan pengorbanan selain daripada doa dan harapan semoga mak dan ayah sentiasa dalam kebahagian dan keredhaan Allah. Anakmu ini berterima kasih dan menghargai segala kesusahan mak dan ayah lalui dalam mengharungi cabaran yang berliku untuk memberi sebuah kehidupan yang bermakna buat diri ini. Sejuta kemaafan dipohon di atas segala khilaf anakmu ini...Ya Allah, lanjutkan usia mak dan ayahku...aku masih memerlukan mereka.
Mak dan ayah hanya dikau penyeri hidupku...
Restumu mak dan ayah azimat perjuangan mencari impian dan cita-cita...

Thank you Allah for my mother
Thank you Allah for my father
A special thank you to my beloved mak, ayah and ibu that always be on my side
I will not be here without all of you...
Thanks...







Wednesday, October 7, 2009

ERTI HIDUP...

Hidup kita ibarat seperti roda yang sentiasa berputar. Ada masanya kita berada di atas dan ada masanya pula kita akan berada di bawah. Ada masanya kita bahagia dan ada masanya kita sengsara. Kita manusia sentiasa diuji dan ketabahan sering menjadi taruhan. Setiap ujian yang diberikan ada hikmah disebaliknya yang tidak kita ketahui. Sesungguhnya setiap ujian dan dugaan yang diberikan sudah tentu kita sebagai hambanya mampu untuk menghadapinya. Kadang-kadang kesusahan akan mengajar kita erti sebuah kehidupan dan kita akan menghargainya. Bagi diri ini hidup kita akan bererti apabila kita menjalani kehidupan ini berlandaskan syariah Allah dan mendapat keredhaanNya.

Adakah kehidupan kita sekarang bererti??? Sama-sama kita muhasabah diri dan mencari erti kehidupan yang sebenar...semoga hidup kita lebih bermakna.
Ini adalah lirik lagu erti hidup, Dayang Nurfaizah. Sama-sama kita renungkan.

Angin kau membawa bahtera ku
Ke mana mahu mu
Di kamar daku sering bertanya
Mana tempat ku di dunia
Tepuk dada tanyalah selera
Jika daku ingin berjasa
Memberikan hidupku makna
Tepuk dada tanyalah selera

Inginku mengenali
Erti hidup yang diberi
Dunia jadi saksi
Liku-likukan ku harungi
Tidak lagikan ku di situ
Menyaksi kehidupan berlalu
Kan ku kerah darah keringat ku

Tiba waktu aku tiada
Tidak akan daku sesali
Daku hidup caraku sendiri
Angin kan ku bawa bahtera ku
Ke mana mahu ku
Kini ku berani mengemudi
Ke mana ku pergi
Bagai guruh mengegar bumi
Aku tetap teguh berdiri
Penuh pengorbanan yang sejati

Monday, October 5, 2009

ERTI SEBUAH KEMAAFAN...



Hari ini tanggal 16 Syawal 1430 hijrah bersamaan dengan 5 Oktober 2009, bermakna kita masih lagi berada dalam suasana hari raya. Suasana yang agak berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Pada bulan inilah kita dapat menikmati pelbagai jenis makanan dari ketupat hinggalah biskut-biskut moden yang lazimnya tidak terdapat pada bulan-bulan lain tapi disajikan pada bulan ini. Jumlah kes kemalangan juga akan meningkat kerana semua orang berpusu-pusu pulang ke kampung halaman. Tidak ketinggalan amalan bermaaf-maafan juga menjadi basahan mulut setiap lapisan masyarakat tidak kira usia dan budaya. Itulah suasana yang berbeza yang dapat kita lihat.



Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah tentang nilai sebuah kemaafan. Setiap orang begitu mudah untuk memohon maaf dan setiap orang juga sedia untuk memaafkan kesalahan orang lain. Begitulah kita digalakkan supaya berlapang dada dan sedia memaafkan kesalahan orang lain serta melupakan segala kesalahan yang berlaku. Uqbah bin Amir pernah berkata, “Hai Rasullulah, khabarkan aku tentang perbuatan yang mulia.” Nabi menjawab: “Hai Uqbah, sambunglah silaturahim orang yang memutuskanmu (silaturahim), berilah sesuatu kepada orang yang kikir dan maafkanlah orang yang menzalimimu.” Ini menunjukkan betapa mulianya amalan bermaaf-maafan sesama kita.



Sifat ini akan mengembalikan diri kita dari kebencian terhadap orang yang menyakiti, menzalimi dan mengherdik kita. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bersifat pemaaf dan seseorang itu akan senang untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. Semua orang berharap setelah berakhirnya Aidilfitri semua kesalahan sesama mereka telah dimaafkan dan tiada lagi permusuhan dan persengketaan. Ikatan persaudaraan yang dahulunya jauh kini dapat bertaut kembali tanpa apa-apa perasaan negatif terbuku di hati. Sekiranya masih ada tersimpan prasangka buruk di dalam hati maka itulah salah satu faktor yang menghalang seseorang untuk Berjaya dalam hidup. Oleh itu, marilah kita saling bermaafan dengan seikhlas hati dan semoga Syawal kali ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas serta membawa perubahan kepada hidup kita untuk menjadi yang lebih baik daripada semalam.
"Tidaklah Allah menambahkan kepada hambaNya yang memberi pintu maaf kecuali darjat kemuliaan"
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


LAPANGKANLAH HATI MAAFKAN SEGALA KESALAHAN...


والله أعلم

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...