Saturday, September 12, 2009

DOA PERPISAHAN DENGAN RAMADHAN

"Ya Allah, inilah bulan Ramadhan yang di dalamnya Engkau telah menurunkan al-Quran yang telah berlalu.
Aku berlindung dengan kekuasaan-Mu yang mulia, wahai pemilik fajar
yang terbit dari malam-malamku dan pemilik bulan Ramadhan yang sudah berlalu ini.
Kepada-Mu aku mengadukan kesalahan dan dosaku yang dengannya Engkau akan
menyeksaku pada hari perjumpaan dengan-Mu kelak.
Ya Allah janganlah engkau jadikan puasa ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku.
Seandainya Engkau berketetapan sebaliknya,
maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati bukan yang sia-sia.
Ya Allah jadikanlah puasaku di dalamnya mendapatkan hadiah pahala serta diterima
sebagai amalan yang mendatangkan keredhaan-Mu dan daripada Rasul-Mu
serta dihubungkan cabang-cabangnya dengan pokok, dengan hak kemuliaan
Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda SAW yang suci"


Tidak berapa lama lagi Ramadhan akan meninggalkan kita semua. Adakah kita akan berpeluang bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang??? Apakah kita merasa sedih atau gembira dengan berlalunya Ramadhan datangnya Syawal???Sama-samalah kita berdoa agar kita diberi kesempatan untuk berjumpa dengan Ramadhan yang akan datang. Doa ini saya petik daripada majalah Anis keluaran September 2009.


LAILATULQADAR...



Malam ini merupakan malam yang ke 22 kita berada di bulan ramadhan. Ini bermakna kita telah pun berada di malam sepuluh yang terakhir. Adakah kita akan bertemu dengan malam lailatulqadar...iaitu suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan merupakan anugerah yang diberikan oleh Allah kepada kita umat nabi Muhammad S.A.W dan tidak kepada umat-umat yang lain.

Lailatulqadar bermaksud malam yang sempit. Pada malam itu dunia berada dalam kesempitan dan kesesakkan kerana turunnya para malaikat ke dunia. Allah telah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-quran) pada malam lailatulqadar dan apa jalannya engkau mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? malam lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril a.s. dengan izin tuhan mereka kerana membaca segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun yang berikutnya); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."
(al-Qadr:1-5)

Malam itu merupakan malam yang agung. Al-Qadr itu sendiri membawa maksud kemuliaan dan keagungan. Banyak pendapat dan hadis yang membincangkan tentang bilakah sebenarnya berlaku malam lailatulqadar... Sabda Rasulullah S.A.W:
"Pilihlah malam lailatulqadar pada bilangan malam yang ganjil daripada sepuluh terakhir ramadhan."

Iman al-Nawawi menyatakan bahawa tanda berlakunya lailatulqadar ialah pada malam tersebut keadaan tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Matahari yang terbit pada pagi hari itu pula kelihatan putih cerah dan tidak banyak sinaran cahayanya.
Jadi sama-samalah kita merebut peluang yang diberikan oleh Allah kepada kita di mana tidak diberikan kepada umat-umat yang lain. Semoga kita salah seorang yang akan berada di malam itu...

Saturday, September 5, 2009

PENGORBANAN DAN KEIKHLASAN

"Cinta memerlukan pengorbanan, tanpa pengorbanan cinta itu tidak akan sampai ke mana-mana. Oleh itu, pengorbanan dalam percintaan adalah lumrah" Apa yang dikatakan pengorbanan di sini??? Memberi atau berkorban segala-galanya untuk cinta sampai terkorban jiwa dan raga...Jawapan ada pada diri kita sendiri. Tepuk dada tanya selera...

Pengorbanan atau terkorban adalah dua situasi yang berbeza. Apabila kita mendengar perkataan pengorbanan ramai di antara kita yang akan menghindarkan diri, terutamanya apabila pengorbanan itu demi kebahagiaan orang lain. Kenapa kita perlu berkorban dan akibatnya kita yang akan merana??? Itulah kata-kata seorang kawan. Hakikatnya setiap hari kita mengorbankan sesuatu demi untuk memilih sesuatu yang lain. Mungkin kita tidak menyedarinya. Di saat kita memilih untuk bangun di awal pagi bermakna kita telah mengorbankan tidur kita dan di saat kita memilih untuk bekerja lebih masa bermakna kita telah mengorbankan waktu rehat kita.

Apa yang kita bayangkan hanyalah pengorbanan yang melibatkan hal-hal yang besar seperti pengorbanan untuk bangsa dan negara, pengorbanan para pejuang tanah air demi mencapai sebuah kemerdekaan dan pengorbanan orang Melayu yang telah memberi begitu banyak daripada hak-hak mereka sebagai Bumiputera Tanah Melayu kepada kaum bukan Melayu. Pengorbanan pada asasnya berdasarkan kepada jiwa kita sendiri sama ada ia mengambarkan niat sebenar di hati kita atau pun tidak. Teramat susah sebenarnya untuk melakukan pengorbanan…Apakah kita benar-benar ikhlas untuk melakukanya??? Apa yang pasti akan timbul rasa ketidakpuasan hati dan mungkin merasakan ianya tidak adil untuk diri kita. Kenapa kita yang perlu berkorban, kenapa tidak orang lain??? Sukar untuk kita menjawabnya. Biarkan ianya berlalu ditelan masa kerana mungkin di suatu saat apabila kita menemui sesuatu yang membahagiakan kita maka akan terjawablah itulah nilai pengorbanan kita selama ini.

Kehidupan memerlukan pengorbanan demi sebuah kebahagiaan. kita pastinya akan mengharapkan pengorbanan yang kita lakukan akan memberi kebahagiaan kepada kita bukan sebaliknya. Namun, sering kali juga pengorbanan yang kita lakukan akan berakhir dengan kekecewaan. Kenapa ini yang berlaku??? Ini kerana pengorbanan kita tidak berlandaskan kepada keihlasan dari hati kita. Keikhlasan itu sendiri terlalu susah untuk dicapai. Orang yang ikhlas sentiasa memberi dan tidak mengharapkan pembalasan. Kehidupan orang yang ikhlas tidak akan menempuh apa-apa yang mendukacitakan kerana mereka sentisa redha dan bahagia dengan segala ketentuan Allah dan bukan apa yang orang lain tentukan untuk mereka. Sekiranya kita inginkan sebuah pengorbanan yang membahagiakan jadi persiapkanlah diri kita terlebih dahulu untuk menjadi seorang yang ikhlas. Namun, sebaliknya juga yang berlaku bersabarlah dan ingatlah satu perkara, setiap perkara ada hikmah di sebaliknya. Dunia hanya sementara, selagi kita bersabar dan redha, kehidupan yang lebih baik mungkin menanti kita di akhirat kelak. Inilah satu pengorbanan yang besar dalam hidup kita.

Hidup penuh pengorbanan
Pengorbanan perlukan perjuangan
Perjuangan perlukan ketabahan
Ketabahan perlukan keyakinan
Keyakinan penentu kejayaan
Kejayaan penentu kebahagiaan...

Tuesday, September 1, 2009

KESILAPAN DI BULAN RAMADHAN…


Pada malam ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang saya dapat daripada Majalah i keluaran Ogos 2009. Saya jarang membaca majalah ilmiah seperti ini. Sememangnya banyak info yang boleh kita dapat, terutamanya tentang dunia Islam. Syabas dan tahniah kepada penerbitnya dan Karangkraf. Apa yang saya ingin kongsikan ialah tentang salah faham kita dan saya sendiri terhadap amalan-amalan yang kita lakukan di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Salah faham yang paling utama di kalangan kita dan diri ini ialah tentang waktu imsak. Kita menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah’ bagi sahur. Waktu imsak sebenarnya hanyalah ‘lampu amaran oren’ yang dicadangkan oleh beberapa ulama untuk mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur tetapi, waktu amaran sahaja. Tidak ada alasan sekiranya kita terlewat bangun dan sudah masuk waktu lalu kita tidak bersahur dan seterusnya tidak dapat berpuasa pada keesokkan harinya. Waktu yang disepakati ulama sebagai waktu penamat sahur adalah setelah masuk waktu fajar sidiq (subuh).

Yang ke duanya ialah tentang solat witir selepas solat terawih. Banyak dalil-dalil yang sahih mengatakan waktu yang terbaik untuk solat witir adalah penutup segala solat sunat di malam hari tersebut. Memetik sebuah hadis yang bermaksud: “Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam”. Tidak salah untuk melakukan solat sunat witir selepas solat terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu maka, adalah lebih afdhal ia melewatkan witirnya di akhir malam.

Antara amalan lain yang menjadi salah faham kita di bulan yang mulia ini ialah makan sahur. Ada di kalangan kita (trmasuklah diri ini kadang-kadang) makan sahur di waktu tengah malam sebelum tidur kerana malas bangun di akhir malam. Orang yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh nabi dan bertentangan dengan sunnahnya. Perkataan ‘sahur’ itu sendiri dari segi bahasa bermaksud waktu terakhir di hujung malam. Para ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam.

Selain daripada amalan-amalan di atas kita sering bermalasan-malasan dan tidak produktif dalam melakukan kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan kerja yang kita lakukan seharian adalah dengan niat ibadat dan pastinya akan menambahkan lagi pahala di bulan yang mulia ini. Oleh itu kita hendaklah meningkatkan produktiviti dan bukan mengurangkannya di bulan Ramadhan. Jangan menjadikan puasa sebagai alasan.

Setiap kali kedatangan Ramadhan, setiap masjid dan surau pasti meriah. Ramai yang datang untuk solat terawih beramai-ramai kerana kemeriahannya dan ada jugak antara kita yang datang ke masjid dengan niat kerana morehnya. Malanglah bagi mereka yang hadir ke masjid bukan atas dasar keimanan dan bukan mengharapkan ganjaran redha Allah. Ingatlah bahawa setiap amalan kita dikira dengan niat. Nabi S.a.w bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya semua amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat”. Insya Allah semoga salah faham kita tentang amalan-amalan di atas dapat diperbetulkan dan kita dapat mempertingkatkan lagi level ibadat kita sebelum berakhirnya ramadhan tidak lama lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...