Sunday, August 30, 2009

MERDEKA....



“Dulu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan orang hidup susah sehingga terpaksa minum air longkang untuk hidup. Namun keadaan sekarang sangat berbeza dan segalanya telah dipermudahkan. Malah sekarang ini ada golongan bijak pandai Melayu dan bukan Melayu yang tidak nampak kenapa perlu terhutang budi kepada Negara. Mereka cuma berfikir tentang diri mereka”.

Kata-kata ini dipetik daripada wawancara Mingguan Malaysia (16 Ogos 2009) bersama dengan Tun Dr Mahathir yang bertajuk ‘barat masih mahu menjajah’. Esok genaplah 52 tahun kemerdekaan Negara kita. Detik jam 12 tengah malam ini adalah merupakan detik yang paling bersejarah dan dinanti-nanti oleh semua rakyat Malaysia untuk melaungkan ‘Merdeka’. Tetapi persoalannya di sini adalah sejauh manakah perasaan cintakan Negara di kalangan kita pada hari ini, terutamanya di kalangan generasi muda. Apa yang kita nampak pada hari ini sudah ada tanda-tanda dalam masyarakat wujudnya golongan yang mula cuai dan lupa diri sehingga menimbulkan masalah. Masalah yang dimaksudkan di sini ialah gejala sosial seperti lumba haram (remp-it), penyalahgunaan dadah, samseng dan sebagainya. Semua masalah ini membelengu golongan muda, di mana mereka yang akan menjadi pelapis untuk mengambil alih tapuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Gejala ini harus dibanteras dengan segera sekiranya kita tidak mahu dijajah kembali.

Keadaan sebelum merdeka dan sesudah merdeka sangat berbeza. Ramai yang beranggapan bahawa pada zaman ini kita tidak perlu lagi bersusah payah kerana semuanya sudah dipermudahkan dengan segala kemudahan moden. Jadi apa perlu untuk bersusah payah dan apa makna lagi untuk sayang kepada negara??? Kita harus sedar jika tidak kerana hasil cetusan semangat para pejuang terdahulu yang memperjuangkan tanah air ini, sampai ke saat ini kita tidak akan merasai manisnya kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini. Di sinilah peranan kita sebagai generasi sesudah merdeka bertindak sebagai agen yang menggerak dan mengisi erti sebuah kemerdekaan. Kita seharusnya kembali ke zaman lampau untuk memahami sejarah dan perkembangan negara kita. Sekiranya kita tidak memahami akan sejarah dan perkembangan negara serta buta sejarah, maka kita akan hanyut dibawa arus kesenangan hidup yang melalaikan dan melekakan.

Dalam konteks agama, Islam adalah agama yang bersifat merdeka. Dengan kata lain Islam menyeru ummatnya bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Islam telah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada sesama manusia atau perhambaan kepada hawa nafsu. Menurut penyair Arab, Ahmad Syauqi dalam syairnya menyebut bahawa:
“Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak”
Dalam Islam kita diseru untuk berjihad dengan berkorban jiwa dan raga demi memerdekakan negara dari belenggu penjajah. Ini adalah sifat yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara, kita sebagai generasi yang hidup di zaman ini janganlah melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada kita. Dalam suasana aman dan sejahtera hasil kemerdekaan ini, sudah sampai masa dan mustahak bagi semua pihak untuk sentiasa meningkatkan kewaspadaan terhadap apa-apa juga unsur yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan negara. Bersama-samalah kita menjaga dan mengawal bumi Malaysia yang tercinta ini daripada kejadian-kejadian yang tidak diingini agar kesejahteraan dan keamanan yang kita nikmati selama ini terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang.


SELAMAT HARI KEMERDEKAAN YANG KE -52 UNTUK SEMUA RAKYAT MALAYSIA






2 comments:

deyanah said...

gambar tu copy paste katne?
macam pernah nampak jer..

ermizamustafa said...

Cantik tak??? Saje je nak tunjukkan semangat patriotik...erti kemerdekaan.