Saturday, December 26, 2009

POST MORTEM DIRI

Hari ini tanggal 26 Disember 2009, hanya tinggal beberapa hari lagi kita akan melangkah ke tahun baru menurut kalendar Masihi. Ada juga di antara kita yang tidak sabar untuk merayakannya dengan segala macam pesta yang melalaikan menurut amalan penganut agama Kristian dan ianya berkaitan dengan kelahiran ‘Jesus’. Perlukah kita turut serta dalam perayaan seperti ini??? Tepuk dada tanya iman.

Setiap kali Tahun Baru kita pasti akan punyai azam baru. Itulah kebiasaannya. Apa kata untuk seketika kita menoleh kebelakang dan membuat post mortem tentang pencapaian dan kegagalan pada masa lalu. Saya selalu memberitahu kawan-kawan perkara yang lepas biarkan ia berlalu, itu memang betul tapi, tidak salah untuk kita melihatnya kembali sebagai panduan sebelum kita meneruskan perjalanan yang seterusnya mungkin masih panjang (hanya Allah yang Maha mengetahui sama ada umur kita masih panjang atau sebaliknya). Harus bagi kita untuk bermuhasabah diri.

Sebagai contoh, jika sebelum ini kita selalu melenggah-lenggahkan solat kerana ingin menyelesaikan semua kerja atau ingin menyaksikan berakhirnya tayangan sesebuah filem (cerita korea yang berpuluh-puluh episod) sehinggakan kadang-kadang kita terlepas waktu. Berubahlah…untuk tinggalkan sejenak urusan dunia yang tidak menjanjikan apa-apa, malah mengutamakan urusan akhirat yang janjinya pasti dan kekal abadi dan jika sebelum ini kita bertudung hanya semata-mata mengikut fesyen tudung kontemporari yang pelbagai (jenis belit, pintal dan seumpamanya) tanpa mengambil kira adakah ianya melepasi piawaian syarak yang telah ditetapkan, maka berubahlah untuk bertudung dengan cara yang betul-betul diluluskan oleh syarak.

Seseorang memberitahu saya bahawa kedatangan tahun baru bermakna bertambah setahun lagi umurnya. Pastinya dia...Sedangkan itu ketentuan Allah. Setiap yang bernyawa pasti akan mati bila tiba masanya. Hanya DIA yang mengetahui. Allah berfirman dalam surah al-Imran yang bermksud : “Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya….” Kematian tidak mengira usia, tidak memilih sesiapa dan akan berlaku di mana-mana saja. Di kesempatan yang masih ada sama-samalah kita berubah daripada keburukan kepada kebaikan dan membuat post mortem ke atas diri kita terlebih dahulu sebelum post mortem sesudah kita mati.

***Sebelum kita meneruskan dengan azam yang baru, kita renungkanlah sejenak adakah azam yang lama sudah tertunai atau terhenti separuh jalan???

Saturday, December 19, 2009

TAKWIN HIJRAH

Jika ditanya tarikh bulan Islam ramai yang tidak tahu atau jika mengetahuinya pun kemungkinan hari itu jatuh pada hari kebesaran Islam seperti 1 Syawal (Aidilfitri), 10 Zulhijjah (Aidiladha) dan 1 Muharam. Inilah realiti kita pada hari ini, kerana kita terlalu mengagung-agungkan bulan masihi berbanding bulan Islam. Hari ini 2 Muharam 1431 Hijrah bersamaan dengan 19 Disember 2009 merupakan hari kedua kita berada dalam tahun baru dalam kelendar Islam. Adakah kita menyedarinya???

Pada kebiasaannya setiap detik 12 tengah malam pada 31 Disember ramai antara kita yang meraikan tahun baru mengikut amalan penganut agama Kristian. Amalan ini berkaitan dengan kelahiran ‘Jesus’ dan susulan daripada perayaan Hari Natal atau Krismas yang jatuh pada 25 Disember. Kenapa kita ingin menyertai sambutan ini? Mungkin ianya lebih meriah berbanding dengan sambutan tahun baru mengikut kalendar Islam kerana tiadanya percikan bunga api yang bergemerlapan, pesta-pesta hiburan daripada artis-artis pujaan dan sebagainya. Sama-samalah kita meningkatkan kesedaran dan penghayatan terhadap takwin hijrah. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 168: “Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

Takwin hijrah diperkenalkan oleh Khalifah Umar r.a berasaskan kepada sejarah teragung Rasulullah SAW berpindah dari Kota Mekah ke Madinah. Penghijrahan ini memberi impak yang besar dalam perkembangan Islam. Ini kerana penghijrahan Rasulullah SAW akhirnya membuahkan hasil apabila mengubah pengalaman lampau seperti permusuhan dan kejahilan kepada penyatuaan persaudaraan. Peristiwa hijrah ini juga merupakan lambang kesungguhan dan pengorbanan umat Islam yang sanggup bergadai nyawa dan meninggalkan segala harta benda untuk mencari keredhaan Allah. Jesteru itulah peristiwa hijrah menjadi salah satu hari kebesaran Islam dan dipilih sebagai tahun permulaan hijrah. Biarpun lebih seribu tahun lamanya peristiwa itu, namun ia tetap dikenang sebagai bukti kejayaan oleh umat Islam. Janganlah kita berbangga dengan nama Islam tetapi tidak menjiwai watak sebenar sebagai seorang muslim sejati.

Selepas takwin hijrah diperkenalkan oleh Khalifah Umar r.a banyak kejayaan yang telah dicapai. Antaranya, Empayar Kerajaan Parsi dapat ditumbangkan dan Baitulmaqdis dibebaskan daripada kuasa Rom. Selain itu terdapat peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Muharam iaitu pada 10 Muharam (Hari Asyura). Antaranya, Nabi Adam telah bertaubat kepada Allah di atas kesalahannya, Nabi Idris diangkat ke langit, Nabi Noh selamat keluar daripada bahteranya setelah bumi ditenggelami oleh air banjir selama 6 bulan dan turunnya kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.

Setiap kali menjelang tahun baru kita tidak pernah terlepas daripada menyatakan azam baru kita. Memang tiada seorang pun yang mahu terus berada pada level yang sama, inginkan perubahan, kesenangan dan kemajuaan. Saidina Umar r.a mengungkapkan kata yang bermaksud : “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esoknya lebih buruk daripada hari ini.” Apa salahnya pada kali ini kita menyatakan azam kita mengikut takwin Islam bukan lagi mengikut kalendar masihi. Jadikanlah peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai detik permulaan perjuangan kita yang tidak berpenghujung untuk membawa perubahan ke arah kebaikan. Sama-samalah kita membuat perubahan dalam kehidupan kita ke arah yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna. Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu tanpa kita berusaha. Allah berfirman dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

“Satu Muharam detik permulaan…perpindahan nabi dan umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Atas keyakinan dan iman yang teguh. Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu….”

MEMANTAPKAN UKHWAH MEMPERKASAKAN UMMAH...SALAM MAAL HIJRAH 1431H….


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...